Manifesto belum tunai, elektrik pula naik

Kepemimpinan Kerajaan Pakatan Harapan perlu memastikan maksud tanda pagar #MalaysiaBaharu dizahirkan dengan serius supaya dapat memberi keselesaan dan manfaat yang menyeluruh kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keselesaan dan manfaat itu boleh dilakukan apabila Kerajaan Pakatan Harapan berupaya menunaikan segala janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang berteraskan matlamat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengotakan segala manifesto mereka kerana harapan menggunung dan tinggi rakyat terhadap janji-janji yang ditabur sebelum itu membolehkan mereka menang dalam PRU-14.

“Mereka tidak sepatutnya menambah beban rakyat dengan menaikkan tarif elektrik bagi sektor komersial kerana tindakan itu akan menyebabkan harga barangan pengguna turut meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menempelak Kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa gagal mengotakan segala janji seperti penangguhan pelaksanaan polisi membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN), pemansuhan tol dan menstabilkan harga minyak.

“Belum 100 hari perintah negara, bukan setakat tidak mengotakan janji untuk mengurangkan kos secara langsung kepada rakyat, tapi dinaikkan pula,” katanya.

Tarif elektrik pengguna komersial termasuk pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kilowat per jam (kWj) sebulan di Semenanjung Malaysia akan terkesan ekoran keputusan Suruhanjaya Tenaga mengenakan surcaj tambahan sebanyak 1.35 sen/kWj bermula semalam sehingga 31 Disember depan.

Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kos bahan api dan penjanaan elektrik yang tinggi.

Dalam kenyataan tersebut, kerajaan menetapkan surcaj tambahan iaitu kos tidak berimbang (ICPT) tersebut harus dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh hari ini sehingga 31 Disember depan. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker