Himpunan solidariti untuk Najib depan pejabat SPRM malam ini

Kumpulan yang bersimpati dengan penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan mengadakan himpunan solidariti di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya malam ini.

Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, himpunan tersebut akan berlangsung selama dua jam dari pukul 9 malam hingga 11 malam ini.

“Saya seru kepada semua rakyat Malaysia. Ayuh kita nyatakan bantahan kita terhadap penganiayaan yang dilakukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

“Mari kita korbankan masa kita untuk turun ke Ibu Pejabat SPRM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, sebagai tanda solidariti kita kepada Datuk Seri Najib dan rasa kecewa kita kepada pemerintah yang zalim,” kata Lokman dalam satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.

Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan telah membuat tangkapan terhadap bekas Najib pada pukul 2.35 petang tadi di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta di ibu negara.

Menurut atu kenyataan, tangkapan tersebut telah dibuat berkaitan SRC International Sdn Bhd. Mohd. Najib akan dituduh esok pada pukul 8.30 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Pemantau Malaysia Baru ingin mempersoalkan keperluan pihak SPRM menahan Najib dan memaksa bekas Perdana Menteri itu tidur dilokap malam ini. Adakah beliau penjenayah yang ingin melarikan diri dari proses perundangan?

“Bukankah sebelum ini beliau memberikan kerjasama penuh untuk hadir ke SPRM tanpa sebarang masalah? Tidak bolehkah cara yang sama digunakan oleh SPRM untuk mengundang Najib ke mahkamah bagi proses pendakwaan?” kata Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.- UTUSAN ONLINE

One thought on “Himpunan solidariti untuk Najib depan pejabat SPRM malam ini

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.