Adakah Mahathir menipu fakta hutang di parlimen ?

Hutang: Fakta Tun M jauh tersasar

Jawapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Dewan Rakyat yang menyatakan hutang kerajaan pada 1980an dan 1990an adalah kurang daripada RM300 bilion atau bersamaan sekitar 27 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada masa itu dianggap sebagai tidak tepat.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan mendakwa, semakan data yang diperolehi dari laman web Kementerian Kewangan mendapati jawapan Dr. Mahathir pagi tadi adalah jauh tersasar.

Dalam satu kenyataan, Shahril berkata, walaupun benar hutang kerajaan sepanjang tempoh yang disebutkan Dr. Mahathir tidak pernah melebihi RM300 bilion namun apabila dibandingkan dengan KDNK, Perdana Menteri telah memberi jawapan yang mengelirukan Dewan.

“Sebagai rekod, sepanjang tempoh kali pertama pentadbiran Perdana Menteri selama 22 tahun bermula 1981 sehingga 2003, kadar hutang kerajaan berbanding KDNK yang paling rendah dicatatkan adalah pada 1997 iaitu sebanyak 31.9 peratus.

“Manakala rekod tertinggi yang dicatatkan adalah pada 1986 iaitu sebanyak 103.4 peratus berbanding KDNK. Rekod 103.4 peratus ini juga adalah yang paling tinggi dalam sejarah semenjak tertubuhnya Malaysia,” kata Shahril dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Shahril hutang luar persisir pada 1986 telah menjadi rekod tertinggi dalam sejarah apabila peratusan hutang luar persisir berbanding KDNK yang direkodkan sebanyak 39.5%.

Jelas beliau, Dewan Rakyat sepatutnya dijadikan tempat untuk kerajaan menyatakan kebenaran.

“Namun apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri pada pagi tadi adalah sangat mengecewakan. Jumlah 27 peratus yang disebut bukan sahaja tidak tepat malah boleh disifatkan salah secara mutlak dan terang,” kata Shahril. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.