Politik Azmin bakal terkubur?

Penganalisis politik melihat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini berdepan situasi hidup dan mati untuk menyelamatkan karier politiknya dalam pe­-
milihan pucuk pim­pinan PKR pada hujung Ogos ini.

Ini kerana apabila kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR akan turut direbut oleh dua ikon parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, lebih memburukkan peluang Mohamed Azmin apabila wujud persepsi kononnya seolah-olah Anwar bergandingan dengan Rafizi dalam pemilihan kali ini.

“Anwar dianggap seperti tugu reformasi dalam PKR. Jika menentang Anwar, Mohamed Azmin dianggap seperti melawan arus. Seandainya kalah, masa depan Mohamed Azmin dalam PKR pasti sukar.

“Rafizi pula adalah aktivis yang menjiwai akar umbi parti. Jika mengikut persepsi, Rafizi seperti mendapat restu daripada Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya fikir Mohamed Azmin kini berdepan laluan getir,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan PKR yang dijangka diadakan pada hujung Ogos ini, dengan Rafizi merupakan antara nama baharu yang menyatakan mahu bertanding jawatan tertinggi parti.

Pada bulan lalu, akhbar Singapura, The Straits Times, tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilihat seperti usaha untuk mengimbangi pengaruh Anwar, namun disangkal oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan.

Tambah Mazlan, jika tewas dalam pemilihan parti terutamanya kepada Anwar, beliau tidak menolak andaian sekiranya Mohamed Azmin bertindak drastik untuk keluar PKR dan menyertai mana-mana parti yang memberi peluang yang lebih cerah kepadanya.

Bagaimanapun penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain menjangka Mohamed Azmin tidak akan melawan Anwar demi menjaga kerajaan Pusat yang baharu dibentuk oleh Pakatan Harapan, dan PKR pastinya mahu menjaga perpaduan dalam kalangan ahli-ahlinya.

Jelasnya, buat masa ini tidak ada isu terdesak yang membuatkan parti memerlukan pertukaran pimpinan tertingginya secara besar-besaran, sehingga memerlukan jawatan Presiden ditandingi oleh dua tokoh yang berkaliber.

“Saya fikir lambat-laun akan tiba juga masanya Mohamed Azmin mengetuai PKR selepas Anwar berundur. Selepas Mohamed Azmin mungkin Rafizi pula,” katanya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker