Jangan terperangkap mainan politik persepsi – Lokman

KLANG 26 Julai – Rakyat diingatkan supaya tidak terperangkap permainan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang me­ngutip sumbangan daripada rak­yat kononnya untuk memulih­kan semula ekonomi negara.

Mendakwa kutipan sumba­ngan di bawah Tabung Harapan Malaysia (THM) itu sebagai tipu helah, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan pelaksanaan tabung tersebut sebenarnya merupakan satu keputusan bermotifkan politik dan bukannya sebagai tindakan yang bersifat patriotik.

Ini kerana, beliau difahamkan THM lebih banyak disokong oleh syarikat-syarikat korporat berbanding rakyat Malaysia sendiri dan pola tersebut mungkin di­sebabkan pengumuman kerajaan yang memberikan pengecualian cukai tanpa had kepada mereka yang memberikan sumbangan kepada tabung berkenaan.

Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya memberikan penge­cualian cukai kepada syarikat-syarikat korporat yang menyalurkan sumbangan kepada THM kerana ia bersifat sukarela atas semangat patriotik.

“Akibatnya pengecualian cukai tanpa had untuk THM itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang sepatutnya disalurkan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di Kampung Johan Setia di sini hari ini.

Lokman Noor bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menentang calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Muhgni dan calon Bebas, K. Murthy.

Pada masa sama, Lokman Noor turut menyifatkan pelaksanaan THM itu seolah-olah turut diambil kesempatan oleh syarikat-syarikat korporat untuk meraih publisiti sedangkan hakikatnya kerajaan berhadapan kehilangan hasil cukai pendapatan korporat yang boleh digunakan untuk menampung pembangunan rakyat.

“PH menggunakan hujah memulihkan ekonomi negara. Apa yang nak dipulihkan mereka ke­rana semasa pentadbiran BN, rizab negara yang ditinggalkan adalah sebanyak RM438 bilion manakala pertumbuhan ekonomi pula berada pada tahap yang baik iaitu pada kadar 5.9 peratus,” soalnya.

Pada masa sama, Lokman Noor meminta rakyat khususnya di DUN Sungai Kandis melihat secara rasional helah kerajaan PH yang turut dianggotai PKR ketika ini yang berkemungkinan untuk mengelak daripada menunaikan janji-janji mereka yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

Malah, pentadbiran negara pada hari ini katanya dilihat seolah-olah menunjukkan kecende­rungan untuk menghakis hak dan kepentingan orang Melayu melibatkan soal ekuiti ekonomi, pendidikan, agama, bahasa, sistem beraja dan sebagainya.

  • Utusan Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker