Rahman: Jumlah royalti lebih kecil jika guna formula keuntungan bersih

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, 20% royalti minyak yang akan diterima Sabah dan Sarawak lebih kecil, jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan formula pengiraan berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai.

Katanya, formula pemberian 5% royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak yang diguna pakai sebelum ini dikira berdasarkan pendapatan kasar.

“Mereka mencanangkan angka 20% ini sejak pilihan raya 2004 lagi.

“Sebab itu rakyat Sabah dan Sarawak amat kecewa bila pengumuman kerajaan persekutuan baru-baru ini tersasar jauh dari janji mereka.

“Jumlah 20% (royalti) daripada keuntungan jauh lebih kecil daripada jumlah 20% pendapatan kasar Petronas (seperti yang dijanjikan oleh PH),” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan berkata, pemberian 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak tidak boleh dilaksanakan segera kerana perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.

Katanya, cadangan PH menambah pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20% dibuat berdasarkan keuntungan bersih Petronas, bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar.

Rahman mahu kerajaan PH menjelaskan jika peruntukan tahunan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak termasuk dalam 20% royalti minyak itu.

“Kalau bajet pembangunan kerajaan persekutuan di Sabah dan Sarawak dikira sebahagian daripada kiraan formula 20% itu, ternyata rakyat Sabah dan Sarawak akan berdepan kerugian akibat tertipu sekali lagi dengan janji manis PH.”

FMT

Related Articles

Back to top button
%d

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker