Kembalikan penginapan haji percuma

Share


Wanita UMNO menuntut Tabung Haji (TH) mengembalikan perkhidmatan penginapan percuma kepada bakal jemaah haji yang transit di kompleks urusan jemaah haji di Sepang pada musim haji kali ini.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata ini kali pertama dalam sejarah, penginapan percuma kepada jemaah haji dimansuhkan dan bayaran yang mahal dikenakan ke atas jemaah yang ingin menginap di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) di Sepang.

“Wanita UMNO berpandangan, bakal jemaah haji selaku pendeposit dan pemegang saham Tabung Haji wajar mendapat layanan terbaik, terutama dalam pemberian penginapan percuma sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Ia sudah dilaksanakan oleh TH lebih 33 tahun yang lalu. Tidak semua jemaah haji mampu membayar kos penginapan yang dikenakan bayaran mahal itu.

“TH sebagai agensi utama yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan mengelola urusan haji di Malaysia wajar menjaga kebajikan jemaah haji terutamanya yang datang jauh dari seluruh pelosok Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, Pengarah Operasi TH, Datuk Syed Salleh Syed Abd Rahman memberi penjelasan keputusan memansuhkan perkhidmatan itu dibuat sebulat suara jawatankuasa yang bertanggungjawab di TH.

Syed Salleh menjelaskan, untuk mengubah keputusan yang dibuat, ia memerlukan persetujuan daripada jawatankuasa yang sama.

Noraini berkata, TH tidak wajar mengambil keuntungan dari situasi jemaah haji yang memerlukan penginapan sebelum berangkat ke tanah suci.

Katanya, keputusan TH itu mengakibatkan jemaah haji transit perlu mengeluarkan kos sendiri bagi penginapan mereka, sedangkan tidak semua terdiri daripada golongan yang berkemampuan.

“Tidak semua jemaah haji mampu membayar kos penginapan yang dikenakan bayaran mahal itu.

“Justeru, saya menggesa dan meminta pihak menteri dan pengurusan TH yang baharu ini agar segera mengubah keputusan berkenaan dan memberikan penginapan percuma di semua pusat perlepasan haji di seluruh negara kepada bakal jemaah haji yang memerlukan perkhidmatan transit seperti dilakukan TH selama ini,” katanya.

Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *