Najib harap pindaan DEB tak jejas ekonomi negara

Share


Bekas perdana menteri itu berkata DEB ketika era kerajaan BN terbukti membawa kebaikan kepada ekonomi negara.

Najib Razak berkata pindaan DEB mestilah membawa sesuatu penambahbaikan daripada apa yang telah dilakukan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pindaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mestilah menambah kebaikan dan tidak menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata dasar DEB ketika era kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti membawa kebaikan kepada ekonomi negara.

“Saya tak pasti apa yang nak dilakukan oleh kerajaan yang baru ini. Tetapi kita telah buktikan antaranya pengiktirafan yang dilakukan oleh ‘World Economic Forum’ meletakkan Malaysia sebagai negara ke-23 paling kompetatif di dunia.

“Kedua, ikut pada andaian bank dunia, kita di ambang ekonomi yang boleh diiktiraf dalam masa beberapa tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Semalam, kerajaan berkata DEB dan Model Ekonomi Baru (MEB) akan diteliti semula bagi mengkaji sama ada ia masih relevan atau sebaliknya.

Menteri Hal Ehwal Eknomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata penjajaran semula dasar utama negara itu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara mapan dan berupaya menjamin pengagihan yang adil.

Sehubungan itu, katanya, dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara.

Najib berkata kerajaan Pakatan Harapan diharap tidak hanya sekadar membuat pindaan tanpa memikirkan kesan terhadap ekonomi negara.

“Kalau nak lakukan pindaan, ianya mestilah membawa sesuatu penambahbaikan daripada apa yang kita telah lakukan.

“Kalau timbul banyak ketidaktentuan, maka ini boleh menjejaskan keyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia,” katanya.

FMT



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *