Cadangan Dr Mahathir Untuk Hapus Sosma Wajar Disokong

Share


Cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sangat tepat dan sepatutnya disambut dengan gembira oleh rakyat Malaysia dengan syarat beliau tidak mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang lama.

Menurut Dr Mahathir, Sosma yang diperkenalkan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, membenarkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja, tanpa perlu mendapatkan perintah mahkamah.

Sosma sebenarnya hanya membenarkan seseorang yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas dan mengkhianati negara ditahan sehingga 28 hari. Ini berbeza dengan ISA pada zaman Mahathir yang membenarkan tahanan tanpa bicara sehingga dua tahun.

Dewan Rakyat sebelum ini telah meluluskan tempoh penahanan maksimum 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan terus dikuatkuasakan bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai 2017.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Nur Jazlan Mohamed, tempoh penahanan maksimum 28 hari itu diperlukan bagi memberi kekuatan kepada Akta berkenaan yang memerlukan siasatan dibuat dengan teliti terutamanya dalam mendapatkan keterangan dan mengesan penjenayah yang masih bebas.

“Tempoh tersebut juga akan membantu pihak polis menjalankan siasatan dan melancarkan proses pendakwaan di mahkamah, walaupun secara realitinya pihak polis mempunyai 28 hari untuk melakukan penyiasatan, namun secara tersiratnya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari sahaja untuk membuat penyiasatan.

“Hal ini berikutan baki tujuh hari tersebut pihak polis perlu menyerahkan kertas siasatan yang telah lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,”

Subseksyen 4(5) SOSMA memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk siasatan selama tempoh tidak lebih 28 hari.

Manakala subseksyen 4 (11) SOSMA pula menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa apabila diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk tidak melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

SOSMA berjaya mengambil tindakan pendakwaan terhadap lebih daripada 50 peratus tahanan sejak lima tahun lepas.

“Seramai 989 orang ditahan di bawah SOSMA bagi tempoh 31 Julai 2012 hingga 22 Feb 2017. Sebanyak 363 telah dibebaskan dan 139 dalam proses perbicaraan manakala 502 orang telah dijatuh hukum.”

Justeru jika Mahathir mahu menghapuskan Sosma kita wajar mengalu-alukan kerana beliau mempunyai kecenderungan menjadi autokratik dan menindas penentang politiknya bila berkuasa.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *