Bestinet dan Zahid nafi terbabit skim tipu pekerja asing.

Bestinet Sdn Bhd hari ini menafikan dakwaan terbabit dalam skim penipuan disyaki mengaut keuntungan RM185 juta daripada ratusan ribu warga Nepal yang mencari pekerjaan di Malaysia sejak 5 tahun lalu.

Syarikat itu berkata, dakwaan yang mula disiarkan Nepali Times pada 20 Jun lalu di bawah tajuk “Kleptocrats of Kathmandu and Kuala Lumpur” adalah palsu sama sekali.

“Bestinet komited menjalankan perniagaan dengan bertanggungjawab dan tidak terbabit dalam amalan perniagaan tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan Nepali Times, skim penipuan itu membabitkan bayaran visa dan saringan biometrik oleh syarikat Nepal ada kaitan dengan Bestinet yang membangunkan sistem pekerja asing untuk Jabatan Imigresen.

Laporan media turut mengaitkan bekas menteri dalam negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa ahli politik Umno, serta orang tengah Bangladesh yang mengaut keuntungan besar daripada pekerja asing Bangladesh.

“Kerajaan Malaysia bersama syarikat yang disokong ahli politik berkuasa mengambil lebih 5 bilion rupee (RM185 juta) daripada lebih 600,000 pekerja Nepal antara September 2013 dan April 2018,” menurut laporan itu.

Kenyataan itu berkata, Bestinet menuntut Nepali Times memohon maaf, menarik balik dan membuat pembetulan dengan segera.

“Bestinet memandang serius dakwaan ini dan mempunyai hak untuk mengambil semua tindakan perlu terhadap Nepali Times serta (penulis laporan itu).”

Katanya, Pengasas dan Pengerusi Bestinet, Datuk Seri Mohd Amin Abdul Nor bukan adik ipar Zahid.

Adik Zahid, Datuk Abdul Hakim Hamidi juga bukan pemegang saham syarikat itu, manakala Tan Sri Azmi Khalid pula tidak pernah menjadi pemegang saham Bestinet dan meletak jawatan sebagai pengarah pada Januari 2017.

“Malah, tiada seorang pun dalam Bestinet yang ada kaitan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” kata syarikat itu.

Awal hari ini, Zahid menafikan sebarang kaitan dengan Bestinet dan menyuarakan kesediaan disiasat berhubung perkara itu.

“Saya tak takut. Saya sedia memberikan bukti terhadap dakwaan pembabitan saya atau saya menyalahgunakan kuasa atau keluarga saya terlibat.

“Mereka boleh siasat, saya sedia tampil ke depan. Saya tidak kisah ia kes lama atau baru. Saya tidak pernah terlibat dan sedia disiasat. Ia bukan syarikat saya,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Bestinet turut menjelaskan ia hanya berperanan sebagai penyedia perkhidmatan untuk sistem bio-perubatan.

Menurutnya, saringan biometrik yang dinyatakan dalam laporan itu ialah satu daripada modul perintis Bestinet yang pernah memenangi anugerah, Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) – sistem pengurusan pekerja asing menyeluruh yang dibangunkan khas untuk kerajaan.

Baru-baru ini, ia diiktiraf World Summit Awards oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu daripada 40 projek digital terbaik dunia yang memenuhi Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

Bestinet berkata, FWCMS mula diperkenalkan kepada kerajaan Malaysia pada 2004.

Menurutnya, kerajaan mengkaji semula cadangan itu pada 2011 dan meluluskan pelaksanaan sistem itu di bawah dasar Konsep Bukti (POC) pada 2012, sebelum Zahid dilantik sebagai menteri dalam negeri.

“Sistem itu membolehkan ujian perubatan dijalankan dan keputusannya dimuat naik dalam talian, termasuk pendaftaran data biometrik dan demografik pekerja.

“Kehadiran dan pengesahan kelayakan pekerja juga dilakukan dalam masa nyata dengan sistem teras Jabatan Imigresen Malaysia.

“Bestinet juga ingin menekankan pemeriksaan bio-perubatan ialah proses mandatori untuk semua pekerja asing yang datang ke Malaysia, bukan hanya untuk pekerja dari Nepal seperti didakwa artikel (Nepali Times).”

Bestinet berkata, modul itu melindungi rakyat Malaysia daripada penyakit yang mungkin dibawa masuk dan pada masa sama menjaga kebajikan pekerja asing dengan memastikan mereka tidak datang ke Malaysia dalam keadaan tidak sihat.

Menurutnya, pelaksanaan sistem bio-perubatan itu memanfaatkan majikan dan pekerja kerana kira-kira 25% hingga 30% permohonan ditolak ketika pengesahan kelayakan kehadiran dilakukan secara manual, yang mungkin mengambil masa sehingga 3 bulan untuk disiapkan.

Ini bermakna kos tinggi untuk pekerja yang tidak boleh mendapatkan kembali wang dibayar kepada ejen dan pemeriksaan perubatan, manakala majikan kehilangan masa berharga dan perlu mengemukakan permohonan baru untuk menggantikan pekerja yang ditolak kerajaan.

Sistem manual itu mempunyai ruang penyalahgunaan dan rasuah.

Bestinet berkata, sehingga kini, modul bio-perubatan itu dilaksanakan di lebih 200 pusat perubatan di 12 negara sumber yang menghantar pekerja mereka ke Malaysia.

Menurutnya, sistem itu beroperasi secara automatik dan dalam talian untuk menghapuskan penyerahan manual serta memastikan pekerja hadir di pusat perubatan menjalani pemeriksaan bagi mengelakkan manipulasi, laporan palsu dan rasuah.

“Pekerja dilindungi di bawah sistem bio-perubatan, jika pengesahan kelayakan kehadiran mereka tidak berjaya, mereka akan dimaklumkan segera dan tidak perlu meneruskan pemeriksaan perubatan. Dalam kes sedemikian, perkhidmatan ini disediakan secara percuma oleh Bestinet.”

Bestinet berkata, terdapat 37 pusat perubatan di Nepal yang ditauliahkan untuk melakukan pemeriksaan bio-perubatan itu.

Pusat perubatan itu dikenal pasti, diaudit dan dipilih berdasarkan kemampuan mereka serta kemudahan perubatan yang ada, bagi membolehkan keputusan pemeriksaan dimuat naik ke sistem dalam masa nyata kepada pihak berkepentingan (Kedutaan dan Jabatan Imigresen Malaysia serta majikan) sebagai keperluan pematuhan sebelum kelulusan diberikan.

Keperluan itu penting bagi memastikan keputusan perubatan diperiksa pengamal perubatan berdasarkan keperluan Malaysia.

Bestinet berkata, ia hanya mengenakan RM100 untuk sistem bio-perubatan yang diluluskan kerajaan Malaysia dan bayaran lain dikutip penyedia perkhidmatan lain.

“Kami ingin menyatakan perkhidmatan ISC (Tapisan Keselamatan Imigresen), VLN (Visa Luar Negara), OSC (Pusat Sehenti) tidak disediakan Bestinet dan kami tiada kaitan dengan penyedia perkhidmatan itu atau mana-mana ejen berpangkalan di Kathmandu.

“Oleh itu, dakwaan Bestinet mengenakan bayaran kepada pekerja asing untuk mengimbas pasport, cap jari dan memuat naik data dalam talian adalah palsu sama sekali.

“Kami mengalu-alukan hasrat kerajaan Malaysia menubuhkan jawatankuasa untuk menjalankan kajian menyeluruh ke atas sistem dan penyedia perkhidmatan berkaitan pengambilan serta pengurusan pekerja asing dan kami akan memberikan sokongan penuh.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker