Aliran keluar bon asing berterusan pada Jun

Pegangan bon asing meneruskan penurunan pada Jun dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM6.7 bilion, walaupun lebih rendah daripada RM12.0 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

RAM Rating Services Bhd dalam satu kenyataan semalam berkata pegangan asing berjumlah RM185.8 bilion pada akhir Jun, turun 3.5 peratus bulan ke bulan berikutan langkah mengehadkan kecairan global dan ketegangan perdagangan memuncak yang mengancam prospek perdagangan dan pertumbuhan.

Di peringkat tempatan, agensi penarafan itu berkata bon kerajaan yang ditender mendapat sambutan baik, dengan permintaan kukuh dalam keadaan sokongan tinggi daripada pelabur tempatan, dengan penawaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) meningkat kepada RM62.7 bilion pada separuh pertama tahun ini.

RAM mengekalkan unjurannya antara RM100 bilion dan RM110 bilion bagi terbitan kasar pada 2018 disokong oleh komitmen kerajaan mengekalkan defisit belanjaran 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahun ini.

“Pada Jun, terbitan bon korporat menyederhana kepada RM6.8 bilion, lebih rendah berbanding purata lima bulan sebelumnya iaitu RM9.8 bilion. Bagi setengah tahun pertama tahun ini, terbitan bon korporat meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM55.7 bilion.

“Kami menjangka kadar kemajuan yang sederhana bagi tempoh berbaki tahun ini terutamanya bagi entiti berkaitan infrastruktur dan separa kerajaan, apabila kerajaan mengambil kira liabiliti luar jangkanya,” kata agensi penarafan itu.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker