‘Manifesto bukan bible’ undang lebih banyak pusingan U

Share

MANIFESTO BERUBAH

Beberapa pemimpin politik hari ini menyuarakan kebimbangan lebih banyak pusingan U dalam penentuan dasar kerajaan Pakatan Harapan akan berlaku jika dasar tidak menunaikan janji manifesto diamalkan.

Pengarah Srategik Pemuda Pakatan Harapan, Syukri Razab berkata, kebimbangan itu berasas kerana pada masa ini sudah ada ‘simptom pusingan U’ dalam pelaksanaan dasar kerajaan.


Ketua Pemuda PKR itu memberi contoh, sebelum ini kerajaan bersedia untuk menghapuskan Biro Tatanegara, namun kenyataan terbaharu menyatakan biro yang pernah menjadi alat propaganda Barisan Nasional (BN) akan diberi penambahbaikan.

“Ia juga menunjukkan seolah-olah manifesto yang disediakan tidak mempunyai asas yang kukuh, sedangkan semua tahu ia adalah hasil daripada maklum balas rakyat berdasarkan perjuangan berdekad lalu,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, manifesto Pakatan Harapan bukan seperti kitab Bible, sebaliknya ia hanya panduan kepada kerajaan dan atas sebab itu, ada beberapa perkara yang tidak boleh dilaksanakan seperti yang digariskan dalam manifesto tersebut.


Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, melihat situasi sekarang, kemungkinan banyak perkara yang kerajaan janjikan sebelum ini tidak akan dipenuhi kepada rakyat.

“Kita akan lihat apa lagi yang akan berlaku selepas ini selepas pelbagai perubahan dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan dan bakal mampu menghilangkan kepercayaan rakyat kepada mereka,” ujarnya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, kenyataan seperti itu membuktikan Pakatan Harapan hanya memberikan janji-janji palsu yang sukar dipenuhi.


“Dulu cakap manifesto adalah tawaran perkhidmatan dan itulah janji parti kepada rakyat. Ini tidak sepatutnya berlaku apabila kerajaan tidak bertangungjawab terhadap manifesto mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply