Bina Bangunan Tinggi Mungkin Boleh Kurangkan Hutang Negara, Positiflah Sikit

Dilaporkan disini bahawa ada rancangan untuk membina bangunan setinggi 700m dalam tempoh 10-15 tahun akan datang, yang mana kalau menjadi kenyataan, akan mencatat rekod sebagai bangunan paling tinggi pernah dibina, bukan saja dalam negara tapi juga di dunia!!

Bangunan yang akan dinamakan sebagai Menara M ini, bukan sahaja bakal mengatasi TRX Tower yang sekarang menduduki tempat pertama, malah Menara PNB yang bakal siap pada tahun 2024.

KLCC dengan binaan seakan huruf H, sudah dengan rekodnya yang tersendiri dan tidak ada tandingannya sehingga sekarang, apa salah ada Menara M pulak?  Dikatakan, kalau dua menara KLCC itu dicantumkan sekali, ia akan menjadi lebih tinggi dari mana-mana binaan di dunia sekarang ini.

Macam mana nak cantum, itu tak usah fikirlah, dah sebut awal-awal “dikatakan”.

Tidak ramai perasan kepentingan KLCC selain dari aspek ketinggiannya sahaja.  Yang mana dengan adanya KLCC dulu, rakyat pada ketika itu boleh melupakan kesan krisis ekonomi 1997 hanya dengan melihat Menara itu saja.  Mungkin dengan pembinaan Menara M ini nanti, akan memberikan kesan yang sama di masa hadapan.

Pembinaan Menara M mungkin boleh mengulangi sejarah itu. Sudahlah negara kita (dengan saiz yang macam ini) ada 2 syarikat kereta, sekarang kita akan ada 3 ke 4 buah bangunan tertinggi di dunia pula.  Rumah peninggalan setinggan pun bersepah lagi di KL tu tapi bangunan tertinggi saja ada 3-4 buah, dahsyat la.

Sementara ramai berfikir apakah logiknya idea pembinaan bangunan setinggi ini muncul bila negara dikatakan sedang terbeban dengan hutang sebanyak RM 1 trillion, saya ingin mengajak semua pihak agar berfikiran positif sikit dengan berita ini.

Dunia hari ini sudah banyak berubah berbanding ketika KLCC memulakan pembinaannya pada tahun 1993.  Pada ketika itu penting untuk meletakkan nama Malaysia di peta dunia dan pembinaan bangunan tertinggi seperti KLCC difikirkan sebagai cara terpantas untuk melaksanakan impian tersebut seterusnya memajukan ekonomi negara.

Hari ini, mana tahu, dengan adanya idea membina bangunan setinggi 700m ini, mampu menurunkan hutang negara yang terlalu tinggi itu dan dalam masa yang sama, menurunkan harga barang dan kos sara hidup? Harga komoditi yang menjunam sekarang pun mungkin boleh naik ke tahap tertingginya.

Eh, jangan ingat tak boleh, Malaysia boleh tau.  Yang penting semua orang perlu berfikiran positif dan tidak menyangka yang bukan-bukan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker