Pengiktirafan sijil UEC akan buka ruang pengiktirafan sijil lain.

Lulus jarum lulus kelindan – Dr. Teo Kok Seong

Pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya akan membuka ruang pengiktirafan terhadap sijil peperiksaan lain sebagai kelayakan untuk memasuki perkhidmatan awam di negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pro­f. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, seperti kata pepatah, lulus jarum lulus kelindan, kejayaan usaha pertama ini melalui UEC dikhuatiri akan menyebabkan banyak lagi pihak lain turut membuat permohonan supaya sijil peperiksaan lain diterima.

“Tindakan mengiktiraf UEC dikhuatiri akan mewujudkan permintaan supaya sijil-sijil lain yang di luar sistem pendidikan kita seperti Sijil Pendidikan Am (GCE) yang diselia Universiti Cambridge turut diterima sebagai syarat kelayakan memasuki perkhidmatan awam.

“Tambahan lagi, tindakan ini dilihat sebagai meminggirkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kita, sedangkan bagi UEC bahasa pengantarnya Mandarin dan GCE bahasa Inggeris,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, negeri tersebut akan melaksanakan pengambilan lulusan UEC sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka memandangkan ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Malah, isu berkenaan pengiktirafan ini juga dibangkitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon yang berkata kini DAP tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk tidak mengiktiraf sijil tersebut setelah wakilnya, Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Berkongsi pandangan yang sama, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa berkata, oleh sebab UEC berada di luar sistem pendidikan negara ini, lulusan sijil tersebut dikhuatiri tidak mahir menggunakan bahasa Melayu dan tidak memahami sejarah negara dengan baik.

Kata beliau, sukatan sijil tersebut yang tidak dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan juga boleh menyebabkan penjawat awam lulusan UEC bermasalah untuk menjalankan urusan rasmi dalam bahasa Melayu selain menimbulkan persoalan tentang tahap kefahaman mereka mengenai sejarah negara.

“Sudah pasti kita mahukan penjawat awam yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dan faham sejarah negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker