Harga barangan asas mahal walaupun selepas GST sifar

Harga barangan keperluan asas masih mahal walaupun selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata golongan B40 iaitu isi rumah yang berpendapatan purata bulanan bawah RM3,860 masih dibelenggu isu kos sara hidup.

“MTEM ada menjalankan pemerhatian di pasar raya beberapa hari sebelum pelaksanaan GST sifar. Kami dapati peniaga menaikkan harga barangan keperluan asas sedikit demi sedikit.

“Apabila GST sifar dilaksanakan, pihak peniaga kononnya menurunkan harga sedangkan harga sebelum dan selepas GST adalah sama,” katanya ketika menjadi ahli panel wacana ‘Sebulan Selepas Tiada GST’ di sini, hari ini.

Ahli panel lain ialah Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam, Datuk Nadzim Johan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar bertindak sebagai moderator.

Ahmad Yazid sebaliknya berkata, GST sifar hanya memberi manfaat kepada golongan berpendapat tinggi apabila harga kereta mewah turun purata kira-kira RM10,000.

“Begitu juga dengan harga barangan mewah lain yang mana ia menguntungkan golongan atasan, tetapi golongan bawah masih terkesan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan permit import (AP) yang dilihat tidak banyak membantu mengawal harga barangan asas rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Ameer Ali tidak menolak kemungkinan harga barangan akan kembali meningkat selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Jangan cakap harga barang tidak naik jika SST dilaksanakan. Kalau kadar SST lima peratus, harga barang mungkin akan naik dalam kadar ini juga. Begitulah juga kalau kadar SST 10 peratus.

“Jangan berbohong kononnya ada peniaga cakap mereka menyerap cukai yang dikenakan kerajaan. Tiada istilah menyerap cukai dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan taraf elektrik seperti diumumkan kerajaan turut memberi tekanan kepada golongan peniaga.

“Contohnya bagi perniagaan Mydin, kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan pertambahan kos perniagaan mencecah jutaan ringgit. Ia belum dikira kos yang dikenakan pembekal,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, sikap pengguna di negara ini yang ‘benak’ turut menjadi faktor peniaga tamak terus ‘bermaharajalela’.

“Rakyat Jepun dan Eropah akan boikot kalau harga barang mahal, (bagaimanapun) rakyat Malaysia tetap beli walaupun peniaga jual mahal. Peniaga fikir jual mahal pun orang tetap beli, jadi buat apa nak turunkan harga,” katanya.

Berita Harian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker