Jika ini harganya, saya reda – Najib

“Jika ini harga yang saya terpaksa bayar kerana 42 tahun berkhidmat untuk rakyat dan negara, saya akan reda,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, hari ini, Najib mendakwa pertuduhan yang dihadapinya hari ini adalah kehendak kerajaan baharu.

Beliau berkata, jika prosiding yang dilaluinya hari ini adalah proses yang benar-benar adil mengikut keluhuran undang-undang, beliau yakin tidak akan disabitkan kesalahan.

“Insya-Allah, saya yakin atas ketidaksalahan saya, ini adalah peluang terbaik untuk saya membersihkan nama saya secara tuntas selepas ditohmah dan dituduh dengan begitu berat sekali.

“Hari ini hakim membuat keputusan bahawa ada ‘gag order’ (perintah larangan memberi ulasan) terhadap kes ini. Jadi saya menghormati keputusan hakim dan tak boleh cakap lebih dari itu,” katanya.

Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan keselamatan kerana memberikan layanan yang baik serta menghormatinya sebagai bekas Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Foto Sairien Nafis
“Mudah-mudahan proses ini berjalan dengan baik, insya-Allah saya harap rakyat dan penyokong saya bertenang. Saya juga kagum dengan kehadiran mereka untuk memberi sokongan moral,” katanya.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker