Tiba masa untuk ahli UMNO bersatu.

Share

oleh Ab Jalil Backer

Tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Seri Mohamed Hassan atas kemenangan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO bagi penggal 2018-2021.

Sungguh pun dalam kempen pemilihan kali ini ada sindiran-sindiran yang tidak sepatutnya terutama dari calon muda, namun kembalilah semua kiambang, bertautlah demi sebuah perjalanan yang jauh dan penuh ranjau ini.

Yang menang tidak seharusnya dapat semua, yang kalah tidak seharusnya disisihkan. Kita boleh kecewa dan gembira, namun mereka yang berjiwa besar adalah orang yang boleh meraikan kekalahan dan kemenangan dengan sederhana.

Demokrasi tidak sempurna, lalu jangan cari kesempurnaan dalam politik demokrasi. Yang ada adalah tolak ansur dan bertimbang rasa.

UMNO akan melalui perubahan. Zahid sebagai orang nombor satu pasti tidak sama seperti zahid orang nombor dua. Masa tiga tahun lagi kita akan menilai beliau sama ada layak memimpin UMNO memasuki pilihan raya umum akan datang.

Tahniah kepada pasukan Ahmad Zahid yang cemerlang mengangkat beliau di saat akhir menewaskan dua lagi calon yang dikatakan popular.

Ia mengulangi sejarah kemenangan Ahmad Zahid dalam pertanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia 1996 yang ketika itu juga beliau bukan calon pilihan.

Ternyata Ahmad Zahid dan pasukannya mempunyai kejutan tersendiri. In sha Allah pasukan beliau akan mampu membawa perubahan dan meneruskan perjuangan ini.

Dengan barisan kepimpinan baharu ini juga, saya mohon mengundurkan diri buat sementara waktu dari hal-hal politik.

Saya akan terus menulis dalam Sinar Harian dan akan kembali semula menulis politik di sini pada suatu masa nanti.

Leave a Reply