AHLI PARLIMEN BARISAN NASIONAL KELUAR PARTI

KENYATAAN MEDIA

Wanita UMNO dengan ini menyatakan rasa kecewa yang mendalam terhadap pengumuman wakil-wakil rakyat Barisan Nasional untuk keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Bermula dengan YB Datuk Dr. Noor Azmi (Bagan Serai), YB Datuk Syed Husin (Bukit Gantang) dan yang terbaru YB Datuk Mas Emeryati Samsudin dari Masjid Tanah. Keputusan dari Mas Emeryati amat mengecewakan kerana beliau merupakan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang bertaraf Naib Presiden UMNO.

Keputusan ketiga-tiga wakil rakyat ini terutamanya Mas Emeryati untuk menjadi wakil rakyat bebas ini ternyata telah mengkhianati kepercayaan pengundi-pengundi yang telah memilih mereka yang mewakili UMNO dan Barisan Nasional. Mas Emeryati juga dengan mudah melupakan kerja kuat seluruh jentera Jalinan Rakyat dan Barisan Nasional yang bertungkus lumus semasa kempen PRU-14 sehingga beliau berjaya menang kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Wanita UMNO ingin mengingatkan Mas Emeryati dan wakil-wakil rakyat BN yang lain bahawa status Ahli Parlimen yang disandang bukanlah hanya kerana diri mereka sendiri tetapi ia merupakan kombinasi kerja kuat jentera Jalinan Rakyat dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Jika ada masalah atau isu dengan kepimpinan dan perjalanan UMNO, perkara ini patut dibincang bersama dengan baik di dalam UMNO hingga ke peringkat tertinggi. Jangan gunakan ketidakpuasan hati ini untuk keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan.

Jika benar wakil-wakil rakyat BN ini benar-benar hilang kepercayaan terhadap UMNO, Wanita UMNO mencabar supaya mereka melepaskan jawatan Ahli Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Kecil diadakan kerana kepercayaan rakyat mesti dihormati dan mereka mesti diberi hak untuk memilih wakil rakyat yang mewakili parti yang mereka percayai.

Wanita UMNO juga akan berbincang dengan pasukan undang-undang UMNO untuk melihat cara bagaimana untuk menangani perkara ini supaya ia dapat dielakkan dari berulang kembali. Pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat yang memilih Barisan Nasional oleh ahli-ahli parlimen dan ADUN yang melompat parti atau pun keluar menjadi Bebas perlu dihentikan. Kepercayaan rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk seseorang individu melunaskan kehendak politik peribadi.

DR. NORAINI AHMAD
Ketua Wanita Umno

Related Articles

One Comment

  1. Inilah parasit UMNO. Sebagai Bekas Ketua Puteri UMNO semasa PRU14, sebenarnya Mas Ermiyati ini gagal membantu untuk mendapatkan kepercayaan dan Undi golongan muda. Tetapi kegagalan tersebut Cuba di taichi kepada Dato Sri Najib. Inilah pemimpin melayu yang patut dibuang dalam UMNO. Alasan keluar parti amatlah lawak dan konon nya penafian oleh Pengurusan Tertinggi UMNO. Mengaku je, takut periuk nasi terganggu dan ada tangan ajaib suh keluar parti. Nak masuk PPBM, dah x diterima, nak tutup malu, kononnya jadi BEBAS……Kah kah kah

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker