Umno perlu kekal untuk Melayu saja, kata Razlan

Umno perlu kekal sebagai parti untuk orang Melayu untuk terus mewakili kaum itu, kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii.

Razlan berkata, perkataan ‘Melayu’ dalam nama United Malays National Organization – nama penuh Umno – tidak boleh diubah kepada ‘Malaysia’.

“Tak boleh buka (keahlian) Umno kepada kaum lain, kecuali kita wujudkan satu lagi ‘payung’ (parti) untuk semua kaum berlindung.

“Sebelum ini berpayung bawah naungan BN, kita terima kepelbagaian dalam perbincangan melalui (gabungan) BN,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin agar parti itu perlu menimbang untuk membuka keahliannya kepada kaum lain, susulan kekalahannya dalam PRU ke-14.

Walaupun tidak setuju dengan cadangan itu, beliau tetap sependapat dengan Khairy tentang keperluan penjenamaan semula Umno dan BN, kerana baginya Pakatan Harapan telah berjaya ‘membunuh’ jenama itu.

“Kemungkinan kita kena ada satu jenama baru, (tetapi) Umno terus sebagai Umno.

“Mungkin kita perlukan satu keahlian terus bagi sebuah parti yang pelbagai kaum, tetapi (parti) lainlah, bukannya Umno,” katanya.

Menegaskan keperluan ‘payung’ baru itu menggantikan BN, beliau berkata MCA, MIC dan parti komponen lain boleh diundang bernaung di bawahnya.

“Sama-sama buat payung baru tetapi soal buka Umno kepada bangsa lain tidak (patut) dibincangkan,” katanya lagi yang akan bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan akan datang.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker