Sosok Zahid sebagai presiden

Ab Jalil Backer 25 Jun 2018

Sosok Zahid sebagai presiden

SABTU ini Umno akan mengadakan pemilihan baharu kepimpinan parti. Ini merupakan pemilihan parti politik yang terbesar di negara ini. Hampir 150,000 perwakilan di seluruh negara akan bersidang dan menentukan kepimpinan baharu parti.

Umno mengadakan pemilihan dalam keadaan ia bukan sebuah parti pemerintah. Kalah setelah lama berada di pihak menang bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh sebahagian besar kepimpinan Umno di peringkat bawah.

Keseluruhan perwakilan hari ini tidak merasai nikmat perjuangan sebagai pembangkang sebagai mana generasi awal pengasas Umno merasai. Ramai yang lupa apabila ditubuhkan pada 1946, Umno adalah parti pembangkang di negara ini. Ketika itu Umno menentang kerajaan British.

Pada 1946 Umno bukan ditubuhkan dengan niat untuk menjadi parti pemerintah. Umno ditubuhkan untuk mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu, bahasa Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam yang bakal terhakis dengan Malayan Union.

Hasil perjuangan itu Umno akhirnya ditakdirkan ALLAH, Tanah Melayu merdeka dan Umno menjadi parti pemerintah yang bertanggungjawab memastikan kedudukan masyarakat Bumiputera keseluruhan dan agama Islam dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Maka dengan takdir ALLAH SWT juga pada tahun 2018 ini Umno hilang kuasa. Pelbagai alasan dan sebab boleh dibentangkan, namun akhirnya ALLAH memberi peluang generasi Umno hari ini merasai semula saat-saat menjadi pembangkang dalam perjuangan agama, bangsa dan negara seperti 1946.

Malangnya, dalam keadaan Umno tidak lagi menjadi pemerintah, sebahagian generasi muda parti tidak sabar untuk menjadi parti pemerintah semula. Mereka terkejar-kejar formula untuk menang pilihan raya sehingga melupakan apakah idealisme perjuangan sebenar.

Salah seorang calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin, mengakui beliau terbuka kepada pelbagai cadangan untuk memenangi semula hati rakyat termasuk membuka keahlian Umno kepada masyarakat bukan Bumiputera atau bukan Melayu.

ALLAH jatuhkan kita supaya kita sedar matlamat sebenar perjuangan parti ini ditubuhkan, sebahagian kita memilih untuk meninggalkan idealisme perjuangan untuk kuasa.

Pas berjuang selama berpuluh tahun, menang dan kalah dalam pilihan raya, mereka tetap dengan idealisme mereka. Kerana apa? Ini kerana parti politik tanpa idealisme perjuangan hanyalah sebuah alat meraih kuasa tanpa matlamat.

Umno bernasib baik kerana tidak semua orang cepat melatah dan hilang pedoman ketika kalah. Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja tenang malah mengambil keputusan menunaikan umrah sebelum kembali menguruskan parti.

Sebaik pulang dari Makkah beliau memberitahu bahawa beliau akan memastikan Umno akan terus kekal sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan agama Islam.

Ahmad Zahid mungkin menjadi bahan cemuhan sebahagian generasi muda yang melihat beliau adalah warisan kepimpinan lama yang kalah dalam pilihan raya lalu. Kononnya kerana beliau mempertahankan Datuk Seri Mohd Najib Razak, maka Umno tidak dapat melakukan perubahan dalaman parti dan akhirnya kalah dalam pilihan raya lalu.

Masalah kepada kepimpinan Umno pertengahan dan bawahan mereka enggan mengakui bahawa kekalahan lalu bukan saja kerana isu 1MDB dan GST tetapi juga kerana sabotaj, pengkhianatan dan kelemahan jentera pilihan raya di pelbagai peringkat.

Mereka yang melihat isu sebenar pasti mengakui bahawa walaupun GST dan 1MDB memainkan peranan dalam menukar pilihan pengundi, namun tanpa sabotaj dan pengkhianatan dalaman kita mungkin masih parti pemerintah dengan majoriti mudah.

Generasi muda mungkin tidak mengenali Ahmad Zahid Hamidi ketika muda. Beliau satu-satunya Ketua Pemuda Umno yang berani mengkritik kepimpinan Tun Mahathir dan kerajaan dalam Perhimpunan Agung Umno atas isu nepotisme dan kronisme.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno, Ahmad Zahid turut kehilangan jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia secara tidak demokratik. Beliau kemudian ditangkap oleh Mahathir di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ramai yang berkata Ahmad Zahid orang Anwar. Namun bagi saya beliau ialah seorang ahli Umno sejati. Ketika ramai kawan beliau keluar parti untuk bersama Anwar, beliau kekal dalam Umno biar terbuang dan tersisih dari segala jawatan yang dimenanginya melalui pilihan ahli.

Beliau bersahabat dan berhidmat dengan ramai orang termasuk Mahathir, Anwar, Najib dan Pak Lah. Namun kesetiaannya sehingga hari ini hanyalah kepada Umno.

Umno tidak memerlukan seorang teknokrat hebat atau orator populis untuk menjadi presiden. Ia memerlukan seorang pemimpin yang berpengalaman, setia dan bersedia memimpin dengan idealisme perjuangan parti walau tanpa kuasa dan kekayaan.

Inilah kualiti yang ada kepada Ahmad Zahid dan apa yang diperlukan Umno yang sedang terumbang-ambing ini. Kita memerlukan pengukuhan jati diri parti untuk bangkit semula.

Sepatah kata Ahmad Zahid Hamidi, “Saya tidak reda Umno dibubarkan untuk memenuhi cita-cita politik seseorang.”

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker