Pelantikan Tommy Thomas Cetus Kebimbangan Orang Melayu Dan Umat Islam Malaysia

Oleh: TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

1. Keputusan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong memperkenankan perlantikan Tommy Thomas amat membimbangkan orang Melayu dan umat Islam negara ini. Lebih membimbangkan apabila perkenan ini diberi sebelum Majlis Raja-Raja sempat untuk bermesyuarat bagi membincangkan soal perlantikan Peguam Negara. Ia menimbulkan persoalan, apakah yang telah berlaku di sebalik tabir sehingga mendorong pemberian perkenan ini?

2. Kenapa orang Melayu dan umat Islam Malaysia yang berpegang kepada ajaran Islam sebenar tidak senang dengan pelantikan ini? Jawapannya, kerana mereka bimbang peruntukan-peruntukan dalam Perkara 3 berkaitan kedudukan agama Islam, Perkara 153 berkaitan kedudukan orang Melayu dan Perkara-perkara lain yang melibatkan kedudukan YDP Agong dan Raja-raja Melayu di dalam perlembagaan akan tergugat.

3. Belum 100 hari Pakatan memerintah, sudah begitu banyak suara-suara sumbang daripada golongan sosialis, liberal dan sekular yang mempertikaikan kedudukan istimewa yang diberikan kepada orang Melayu, umat Islam dan institusi-istitusi berkaitan dalam negara. Pelantikan Thomas dilihat sebagai langkah pertama kerajaan Pakatan merealisasikan desakan-desakan golongan ini.

3. Dengan pelantikan Thomas, ahli dan penyokong Pas boleh melupakan terus hasrat untuk menegakkan hukum Hudud. Jangan kata hendak melaksanakan hukum Hudud, undang-undang yang lebih mudah seperti memperkasakan undang-undang syariah melalui RUU355 juga tidak mungkin mampu mereka lakukan.

4. Bagi pendukung kefahaman ‘Islam adalah ad-din’ dan menolak fahaman sekularisme, pelantikan Thomas merisaukan kerana ia boleh mengubah cara Perlembagaan dan Undang-undang berkaitan kedudukan Islam ditafsirkan selepas ini.

5. Bagi pendukung Perkara 153 dan kedudukan Raja-raja Melayu, pelantikan Thomas merisaukan kerana ia boleh menggugat tafsiran Perlembagaan berkenaan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, seterusnya boleh mempengaruhi pelbagai dasar dan institusi yang berkaitan, baik yang sedang dilaksanakan mahupun yang hendak dilaksanakan di masa hadapan.

6. Lebih membimbangkan mengenai pelantikan Thomas ini adalah hasrat kerajaan Pakatan untuk meminda atau berkemungkinan memansuhkan Akta Hasutan.

7. Walaupun Pakatan menyebut bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu/Bumiputera tetap akan diutamakan dan dijaga, ‘track record’ Pakatan dalam menunaikan janji amat teruk sekali. Jika begitu banyak janji gagal dilaksanakan, apakah perbezaannya dengan janji-janji berkaitan kedudukan Islam dan orang Melayu/Bumiputera yang Pakatan ungkapkan?

8. Sebelum PRU14, kita telah mengingatkan bahawa janji Pakatan boleh mengakibatkan defisit dan risiko ekonomi kepada negara. Malangnya pengundi Pakatan tidak percaya. Hari ini terbukti Pakatan tidak mampu melaksanakan janji-janji mereka malah lebih teruk lagi kenyataan dan tindakan mereka semakin merosakkan ekonomi negara.

9. Telah diingatkan bahawa pemimpin Pakatan mendukung fahaman sekular, sosialis dan liberalisme melampau dan pemilihan mereka membolehkan fahaman ini dilaksanakan di dalam negara. Malangnya ada di kalangan umat Islam dan orang Melayu yang mengundi Pakatan tidak mempercayainya.

10. Kita juga telah mengingatkan bahawa dalam kerajaan Pakatan sebenarnya bukan PPBM yang menjadi parti yang dominan, sebaliknya Dap akan jadi paling berkuasa melalui kerusi yang dimenanginya dan oleh proksinya. Hari ini terbukti bahawa Perdana Menteri hanyalah Perdana Menteri yang lemah dan didukung oleh hanya 13 kerusi PPBM sedangkan Dap dan proksinya memiliki jauh lebih banyak sokongan di Parlimen dan di negeri-negeri.

11. Adakah ini yang diinginkan oleh umat Islam dan orang Melayu yang mengundi Pakatan? Atau adakah umat Islam dan orang Melayu merasa tertipu dengan janji-janji dan jaminan yang ditaburkan oleh Pakatan semasa mereka merayu undi?

#MalaysiaMemilih
#MalaysiaTertipu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker