Pejawat awam Kedah sepatutnya terima bonus raya RM1,000

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diminta supaya mengembalikan hak kakitangan kerajaan negeri dengan melunaskan bayaran sebanyak RM1,000 kepada semua mereka tanpa mengira gred pekerjaan masing-masing menjelang kedatangan Aidilifitri tidak lama lagi.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kerajaan negeri pimpinan Mukhriz tidak seharusnya menggunakan alasan ‘kekangan kewangan’ bagi mengurangkan jumlah bayaran tersebut kerana perkara itu sememangnya termaktub dalam pembentangan bajet negeri dan sudah pun diluluskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penggal lalu termasuk Mukhriz sendiri.

“Apabila Bajet negeri sudah diluluskan, maka kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang bagi maksud tersebut dan atas sebab itu, sepatutnya isu kekangan kewangan tidak menjadi soal dengan kerajaan negeri sebelum ini jelas mampu untuk memenuhi komitmen itu.



“Jangan dilupa, Mukhriz juga telah terlibat dalam meluluskan perkara tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu dan saya fikir beliau tidak pernah membantah jumlah bayaran khas tersebut. Oleh itu, adalah amat pelik apabila beliau mengubah keputusan yang telah dipersetujui dalam sidang DUN tersebut atas alasan kekangan kewangan,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2018 dibuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pada 12 November tahun lalu, beliau mengumumkan pembayaran khas sebanyak RM2,000 bagi semua kakitangan awam negeri yang mana RM1,000 dibayar pada Disember 2017 dan selebihnya akan dibayar menjelang Aidilfitri tahun ini.

Namun Mukhriz dalam sidang akhbarnya semalam memaklumkan kerajaan negeri pimpinannya ketika ini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk hanya membuat bayaran sebanyak RM400 kepada kakitangan awam gred 41 ke bawah seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Syed Johan menambah, beliau mendapat maklumbalas daripada beberapa kakitangan kerajaan negeri yang kecewa dengan pengumuman Menteri Besar itu dan mengharapkan Mukhriz supaya dapat menilai semula pertimbangan beliau.

“Janganlah bersikap zalim kepada kakitangan kerajaan negeri yang telah berkorban segalanya bagi memajukan negeri dan melaksanakan agenda negeri tanpa mengira siapa Menteri Besar dan berkhidmat untuk kerajaan hari ini.

“Kerajaan PH Kedah tidaklah perlu terbawa-bawa politik balas dendam dan membatalkan komitmen kerajaan terdahulu yang berniat baik untuk kesejahteraan para penjawat awam negeri dan keluarga mereka kerana sudah semestinya menjelang Aidilfitri ini mereka telahpun membuat perkiraan perbelanjaan termasuk dengan nilai RM1,000 bayaran khas tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.