Nazir Hussin Tanding MT UMNO Untuk Wakili Suara Orang Muda

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin mengumumkan bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa percaya sudah tiba masanya parti itu menggabungkan kepemimpinan pelbagai generasi daripada golongan muda sehingga kepada yang berpengalaman.

Meskipun belum mencecah usia 40 tahun, namun Nazir Hussin nekad menjadi wakil dan suara orang muda sekiranya dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi parti.

“Apabila diminta oleh Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO) supaya saya menjadi antara wakil pemuda dalam pemilihan Majlis Tertinggi kali ini, saya terimanya sebagai satu harapan dan amanah besar.

“Kita tidak boleh lagi bersedih. Kita harus terima kekalahan dalam pilihan raya lalu dan perlu memandang ke hadapan bagi membangkitkan semula parti keramat ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Nazir Hussin tidak menjanjikan keajaiban dalam memulihkan parti, tetapi beliau berjanji akan bekerja keras dan bersuara lantang untuk memastikan parti pemerintah `tidak bersultan di mata dan beraja di hati’.

“Insya-Allah saya akan membantu kepemimpinan baharu nanti mengukuhkan semula parti yang banyak berjasa kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera serta perkembangan agama Islam di negara ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker