‘Malaysian Malaysia’ di sebalik gagasan Malaysia Baharu?

Tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang didakwa cuba menerapkan agenda ‘Malaysian Malaysia’ melalui gagasan Malaysia Baharu dikhuatiri boleh mengundang tindak balas tegas oleh golongan bumiputera yang membentuk golongan majoriti di negara ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, perkara itu dapat diperhatikan melalui beberapa tindakan yang diambil oleh Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut beliau, DAP yang menganggotai Pakatan Harapan dipercayai bersungguh-sungguh mahu merealisasikan ‘Malaysian Malaysia’ setelah agenda tersebut ditolak sejak 60 tahun lalu.



“Walau bagaimanapun, bagi mengaburi masyarakat bumiputera tentang pelaksanaan agenda tersebut, tema yang ditonjolkan adalah Malaysia Baharu, iaitu satu perubahan rupa bentuk negara yang dahulunya berasaskan kontrak sosial kepada asas yang baharu.

“Asas baharu tersebut, tiada lagi keistimewaan kepada kaum tertentu dan juga kedaulatan agama tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zuhdi mengulas tentang kenyataan Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong baru-baru ini yang menyifatkan tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang hanya mengemukakan nama Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebagai satu usaha untuk menonjolkan agenda ‘Malaysian Malaysia’ kepada masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.