Kewujudan APAD: Keputusan kurang rasional

Keputusan mewujudkan entiti baharu dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah tidak rasional.

Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, langkah tersebut dilihat kurang tepat sebagai pelan penstrukturan semula suruhanjaya itu bagi pengurangan dan penjimatan kos.

“Setiap penukaran sesebuah Suruhanjaya akan melibatkan kos perbelanjaan tersendiri seperti penukaran logo baharu, peralatan pejabat dan sebagainya.

“Sebab itu ia bersifat kurang rasional. Sepatutnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu diperbesarkan dari segi gerak kerja dan satu unit baharu perlu diwujudkan di bawah JPJ sekiranya diperlukan berbanding mewujudkan satu agensi baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan SPAD akan digantikan dengan APAD sebagai langkah pelan penstrukturan semula suruhanjaya itu bagi mengurangkan kos dan memastikan tiada pertindihan tugas dengan jabatan lain terutamanya JPJ.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business Scholl (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penubuhan sesebuah agensi baharu perlu dilihat kepada keperluan dan objektif sesuatu kementerian.

Jelasnya, agensi baharu yang dibentuk itu perlu diukur dengan sebaik mungkin samada ia selari dengan misi dan visi sesebuah kementerian atau sebaliknya.

“Kita tidak mahu agensi baharu yang dibentuk itu hanya untuk menempatkan pekerja. Jelas sekali ia tidak menyumbang kepada langkah penjimatan kos.

“Dan adakah sebelum ini SPAD tidak memenuhi objektif, visi dan misi Kementerian Pengangkutan Malaysia sehingga satu agensi baharu perlu diwujudkan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.