Jangan ada ramai Perdana Menteri dalam kerajaan PH- Abdul Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hairan dengan tindak tanduk sebilangan pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) yang sering membuat kenyataan seolah-olah mereka Perdana Menteri.

Menurut Abdul Hadi, perkara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan negara telah mempunyai Perdana Menteri yang sah, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau meminta perkara tersebut diperbetulkan supaya tidak menimbulkan keadaan yang bercelaru sehingga boleh membantut kelancaran pentadbiran kerajaan.

“Dalam PH, mereka mempunyai banyak parti yang bergabung, ideologi dan pendapat pun berbeza, malah masing-masing juga berebut untuk membuat kenyataan.

“Sepatutnya, kita sudah ada Perdana Menteri, biarlah Perdana Menteri yang membuat kenyataan, sebaliknya apa yang berlaku pemimpin parti komponen dalam PH pula yang membuat pelbagai kenyataan macam merekalah Perdana Menteri, perkara ini tidak betul dan kena perbetulkan,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Ketika diminta pandangannya mengenai tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah seperti tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri dan akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil, Abdul Hadi enggan memberi sebarang ulasan.

Mengena institusi Raja-Raja pula, Abdul Hadi berharap semua pihak supaya akur dengan perlembagaan negara yang menekankan kepada konsep Raja Berpelembagaan.

“Negara kita sudah pun mempunyai konsep Raja Berpelembagaan, jadi kita perlu akur dengan perkara itu dan tidak perlu untuk dibincang atau dipertikaikan,” ujarnya.

Sementara itu Abdul Hadi menyambut baik pendekatan Dr. Mahathir yang cuba menghidupkan semula konsep federalisme membabitkan kerjasama antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri termasuk hal-hal berhubung royalti minyak.

Menurut beliau, kenyataan rasmi Perdana Menteri mengenai royalti minyak kepada Terengganu merupakan suatu perkembangan baik.

“Kita akur dengan perkara itu, walaupun berbeza pendapat, kita akan mengambil pendekataan kita dengan titik yang sama dahulu. Alhamdulliah Perdana Menteri telah membuat kenyataan mengenai wang royalti minyak untuk Terengganu yang dipulihkan semula.

“Kita terima perkara ini (agihan lima peratus dahulu), hal-hal lain kita akan bincangkan kemudian, tetapi apa yang penting sekarang ialah konsep federalisme kena hidupkan semula, apatah lagi kita lihat kerajaan persekutuan tidak menguasai (pemerintahan) di ke semua kerajaan negeri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker