Bonus hari raya dan RM700 juta

Ab Jalil Backer 11 Jun 2018

Bonus hari raya dan RM700 juta
PENGUMUMAN Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengenai Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM400 membabitkan 1.2 juta daripada 1.6 juta penjawat awam merupakan khabar gembira kepada penjawat awam yang sedang memikirkan hala tuju kerajaan baharu ini.

Guan Eng turut mengumumkan bantuan yang sama sebanyak RM200 kepada pesara kerajaan.

Apa yang menimbulkan kehairanan rakyat ialah beliau menyatakan bantuan ini menggunakan peruntukan khas RM700 juta yang akan dibentangkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan pada sidang Parlimen Jun ini.

Menurut Guan Eng lagi, semakan mendapati janji bonus Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak termasuk dalam peruntukan Bajet 2018.

Kenyataan ini sangat mengelirukan dan menimbulkan tanda tanya apakah kita masih belum habis berpolitik pasca PRU14? Sebagai seorang menteri yang mengangkat sumpah menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah, Guan Eng tidak sepatutnya mislead masyarakat tanpa fakta yang jelas.

Dalam pembentangan Bajet 2018, Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dengan jelas mengumumkan Bayaran Khas sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali iaitu RM1,000 pada Januari 2018 dan RM500 sebagai bonus Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pembentangan tersebut juga Najib turut mengumumkan bantuan khas RM750 kepada 743,000 pesara kerajaan. Mereka telah menerima bayaran sebanyak RM500 pada awal Januari lalu dan sepatutnya menerima RM250 menjelang Aidilfitri ini.

Jika menteri dan penasihat baharu gagal menemui butiran tersebut, mereka bolehlah merujuk kepada teks ucapan Bajet 2018 pada para 240, halaman 64. Ini boleh diakses dalam dokumen pdf di laman web Kementerian Kewangan sendiri.

Bajet 2018 ini telah diluluskan oleh Parlimen iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong. Justeru sangat menghairankan apabila media melaporkan Menteri Kewangan mendakwa tiada kelulusan dalam pemberian bonus hari raya oleh kerajaan sebelum ini.

Mengukuhkan lagi kenyataan ini, bayaran sebanyak RM1,000 telah dibuat oleh kerajaan pada Januari 2018. Jadi bagaimana kerajaan hari ini mendakwa tiada kelulusan kewangan untuk pembayaran bonus hari raya?

Sebagai rakyat biasa kita tentu tertanya-tanya, jika Bajet 2018 yang diluluskan oleh Parlimen bukan kelulusan sebenar perbelanjaan kerajaan, siapakah yang berkuasa meluluskannya?

Jika benar kerajaan sekarang akan mengemukakan permohonan peruntukan khas untuk bayaran RM400 pada hari raya ini, ini bermakna penjawat awam sepatutnya menerima bayaran khas sebanyak RM900 bukannya RM400. Dalam Bajet 2018 telah diperuntukkan RM500 dan hari ini kerajaan umum bayaran RM400 seorang melalui peruntukan tambahan akan datang.

Apabila bayaran yang diterima penjawat awam hanya RM400 bukan RM900 dan pesara hanya menerima RM200 bukan RM450, maka kita khuatir peruntukan khas yang akan diminta nanti akan digunakan untuk perkara lain.

Peruntukan ini membabitkan jumlah yang agak besar iaitu RM700 juta. Ini belum termasuk lebihan dari peruntukan asal yang telah dikurangkan dari RM500 kepada RM400 dan peruntukan pesara kerajaan dari RM250 kepada RM200.

Dalam keadaan Menteri Kewangan yang baharu membuat pelbagai kenyataan mengelirukan dan hanya Mohd Najib yang mengulas isu, maka kita tertanya-tanya di mana bekas Menteri Kewangan Kedua yang terbabit secara langsung dalam pengurusan kewangan negara.

Sebagai Menteri Kewangan Kedua yang hendak bertanding Naib Presiden Umno, adalah wajar Datuk Seri Johari Abdul Ghani tampil membetulkan penyimpangan fakta dan polisi. Malangnya, pemimpin Umno lebih memilih jalan menyelamatkan diri dari padamenjadi pembangkang yang bertanggungjawab.

Kepada pembaca saya ucapkan selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Semoga hari-hari mendatang lebih baik dari semalam.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker