Kerajaan PH terkapai-kapai tunai janji 100 hari

Setelah hampir dua bulan Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan negara, tidak banyak komitmen janji manifesto yang berjaya mereka tunaikan.

Sebaliknya, kerajaan PH dilihat lebih banyak mengadakan kempen mencari kesalahan pihak lain sedangkan perkara itu seharusnya dihentikan atau diminimumkan.

Ini kerana menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, PH sepatutnya menumpukan usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap Malaysia.

“Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, kerajaan PH menyatakan komitmen untuk menunaikan janji dalam tempoh 100 hari selepas mereka berkuasa seperti yang ditermeterai dalam manifesto ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’.

“Namun sehingga hari ini cuma harga minyak distabilkan setelah subsidi petrol secara bersasar diperkenalkan semula selain Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan untuk mengurangkan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif peduli rakyat,” kata unit tersebut dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menerusi kenyataan itu lagi, unit tersebut juga mempersoalkan tentang janji untuk menghapuskan hutang peneroka FELDA, penghapusan tol serta mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk menyiasat serta menangani isu menimbulkan kontroversi.

“Sekiranya kerajaan PH benar-benar ingin membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, mereka sepatutnya menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak kerana kedua-duannya adalah kegunaan harian sebahagian besar rakyat negara ini.

“Sebaliknya, kerajaan PH lebih selesa memberikan alasan masalah kewangan negara `yang teruk’ adalah punca mereka terpaksa menangguh janji manifesto 100 hari mereka termasuk beberapa inisiatif ‘Janji 100 hari’ sehingga kononnya apabila keadaan kewangan negara sudah bertambah baik,” ujar kenyataan itu.

Unit itu turut mendesak kerajaan PH untuk tidak bertindak dengan gopoh gapah dan drastik terutamanya dalam hal yang bersifat membongkar kesalahan kerajaan terdahulu dan tindakan menguar-uarkan hutang negara mencecah RM1 trilion telah memberikan impak negatif ke atas ekonomi negara.

“Perkara ini terbukti apabila prestasi pasaran saham menjunam ke paras terendah dalam tempoh beberapa tahun apabila indeks FBM KLCI kini berada di sekitar 1,660 mata berbanding selesa di atas paras 1,800 mata sebelum PRU14.

“Sekiranya suasana semasa ini tidak ditangani dengan segera dan berkesan, UMNO bimbang ia hanya akan memberi kesan lebih serius ke atas ekonomi negara, sekali gus menambahkan beban rakyat jelata dalam menjalani kehidupan seharian,” ujar unit tersebut. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button
%d

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker