Jangan pilih pemimpin ‘play safe’, takut dipenjara, direman – Tun Faizal

Calon-calon yang bertanding pada pemilihan UMNO kali ini hanya dengan satu niat iaitu untuk memperkuatkan semula parti keramat orang Melayu tersebut.

Calon Majlis Tertinggi UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, calon-calon yang bertanding tidak pernah terfikir untuk mendapatkan imbuhan. Tambahan UMNO kini bukan lagi parti pemerintah sebaliknya adalah parti pembangkang.

Justeru menurut Tun Faisal, pemimpin UMNO yang akan dipilih oleh lebih 150,000 perwakilan UMNO di seluruh negara haruslah terdiri daripada mereka yang berani, komited dan setia dengan perjuangan UMNO yang berlandaskan agama, bangsa dan negara.

“UMNO tidak boleh lagi membariskan pemimpin yang ‘play safe’, tak berani dipenjara, ditahan reman. Kita tawarkan diri bukan kerana hendak dapatkan jawatan dalam kerajaan. Itu adalah mustahil.

“Kita tawarkan diri untuk untuk kukuhkan parti. Ini kerja yang sangat berat. Justeru perwakilan perlu memilih barisan pemimpin yang baik untuk kukuhkan UMNO dan berhadapan dengan parti lawan,” tegas Tun Faisal dalam Sembang Online yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online hari ini.

Sembang Online tersebut dihoskan oleh wartawan Utusan Online Mohamad Athir Ismail dan turut menjadi tetamu adalah Dira Abu Zahar yang juga calon Majlis Tertinggi UMNO yang akan bertanding dalam pemilihan yang berlangsung esok.

Jelas Tun Faizal, UMNO perlu bangkit kerana walaupun bukan lagi menjadi kerajaan, parti tersebut dipilih orang rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan mempunyai bilangan kerusi terbanyak berbanding parti lain.

“UMNO tidak boleh jadi buah yang jatuh dan pecah. Boleh dilenyek-lenyek. UMNO walau jatuh kena jadi padu seperti batu.Baru ahli dan musuh hormat. Pemilihan ini adalah untuk memulihkan UMNO.

“Orang Melayu dan penyokong pribumi tidak salahkan UMNO kerana perjuangkan Islam, Melayu, bumiputera dan raja-raja. Asas ini mereka tidak marah, mereka marah kerana persepsi,” kata Tun Faizal.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker