UMNO paling demokratik

Share

Persaingan merebut jawatan tertinggi yang terbuka dan tidak melibatkan sebarang kawalan daripada pemimpin tertinggi menjadikan UMNO parti paling demokratik di negara ini, ketika ini.

Penganalisis politik, Dr. Ka­ma­rul Zaman Yusoff berkata, perkembangan terkini yang menyaksikan 612 calon menawarkan diri bertanding merupakan sesuatu yang baik kepada UMNO kerana ia menunjukkan masih ada pemimpin yang yakin bahawa parti ini boleh dipulihkan.

“Ia bagus kerana memberikan ruang yang luas kepada ahli akar umbi UMNO untuk membuat pilihan siapa yang mereka mahu untuk memimpin dan apa hala tuju selepas ini.

“Cuma harapan saya ialah UMNO negeri tidak akan cuba memaksakan kehendak mereka kepada ahli dan memberikan kebebasan penuh siapa mereka mahu pilih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Antara yang paling menarik perhatian ialah pertembungan tiga generasi merebut jawatan Presiden UMNO apabila Naib Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding bersama empat lagi calon.

Mengulas perkara tersebut, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ketiga-tiga calon mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri.

Namun begitu menurut beliau, calon yang mampu membawa agenda perubahan untuk memulihkan UMNO mempunyai ke­lebihan dalam pemilihan kali ini.

“Ketika ini Tengku Raza­leigh masih belum mempunyai visi yang jelas, manakala Ahmad Zahid pula terpalit de­ngan imej kepemimpinan lama, hanya Khairy dilihat membawa suara perubahan dengan agenda penjenamaan semula parti melalui proses peremajaan,” katanya.

Berkongsi pendapat serupa, Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Russli Kamarudin pula melihat Khairy sebagai calon yang boleh memberi saingan kepada pemimpin muda Pakatan Harapan (PH) seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

“Dari segi akademik juga Khairy lebih terkehadapan berbanding calon lain dengan kelulusan Sains Politik dari Universiti Oxford, manakala pemikiran beliau berpijak di bumi nyata dan gaya berpolitiknya matang tanpa ucapan yang memaki dan menghina lawan,” ujarnya.

Utusan

Leave a Reply