Hishammuddin umum tidak bertanding

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat pada pemilihan parti kali ini.

Beliau sebaliknya akan terus bekerja keras dan memberi komitmen sepenuhnya dalam membangunkan parti di peringkat negeri.

“Saya sedar dan insaf dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, itu adalah suara rakyat.

“Justeru, saya telah membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi apa-apa jawatan di peringkat pusat bagi sesi pemilihan kali ini,” katanya dalam sidang akhbar khas yang diadakan di Ibu pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini sebentar tadi.

Walau bagaimanapun Hishammuddin turut menyatakan komitmen untuk meneruskan perjuangan dalam UMNO dan keputusan ini bukan penamat bagi kerjaya politik beliau.

“Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan tidak akan keluar parti.

“Jawatan bukan perkara paling penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya.

Hishammuddin turut menyatakan sokongan penuh beliau kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan kali ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *