Mavcom buat laporan polis terhadap bos AirAsia

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menafikan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bahawa suruhanjaya itu memaksanya membatalkan 120 penerbangan tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia pulang mengundi pada Pilhan Raya Umum ke-14 minggu lalu.

Mavcom sebaliknya berkata suruhanjaya itu meluluskan sehingga 66 penerbangan tambahan yang dimohon syarikat penerbangan tambang murah itu pada 23 April.

“Suruhanjaya ini sama sekali menafikan tuduhan bahawa ia memberitahu AirAsia Berhad untuk membatalkan semua 120 penerbangan tambahan yang dimohon oleh AirAsia semasa tempoh pilihan raya umum ke-14.

“Suruhanjaya ini sebenarnya telah meluluskan semua 66 penerbangan tambahan yang dimohon oleh AirAsia pada 23 April 2018.

“Suruhanjaya ini tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan kepada AirAsia atau mana-mana syarikat penerbangan lain untuk mengurangkan atau membatalkan mana-mana penerbangan yang memenuhi keperluan kawal selia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mavcom menambah tuduhan yang dibuat Fernandes dalam video rakamannya adalah serius dan suruhanjaya itu telah membuat laporan polis.

Fernandes membuat rakaman itu selepas AirAsia menerima kecaman apabila membawa bekas Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak berkempen di Sabah menggunakan pesawat yang tertera slogan ‘Hebatkan Negaraku’ dan logo BN.

Malah anak kapal yang bertugas ketika itu juga mengenakan pakaian berwarna biru dan bukan uniform merah seperti kebiasaannya.

Pada Ahad lalu, Fernandes meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tindakannya dan mendakwa syarikat penerbangan itu menerima tekanan yang kuat daripada kerajaan sebelum ini.

Ini selepas Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum lalu dan selepas AirAsia memperkenalkan 120 penerbangan tambang murah semasa pilihan raya.

Fernandes mendakwa dalam masa 24 jam selepas memperkenalkan penerbangan tambahan itu, beliau telah “dipanggil” oleh Mavcom dan diarahkan untuk membatalkan penerbangan berkenaan.

Mkini

One thought on “Mavcom buat laporan polis terhadap bos AirAsia

  • May 16, 2018 at 2:31 AM
    Permalink

    Tony Fernandes Lepas diri takut tun mahathir pulak selepas ph menang, tun mahathir dah sesikap diktator, kasihan tony hanya sayangkan wang je, sekarang kita dah lihat siapa kawan siapa lawan

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.