Kabinet perlu ditubuhkan segera

Kenyataan Media

Kami mengalu-alukan penubuhan Kabinet secepat mungkin agar negara boleh terus bergerak seperti biasa.

Rakyat di seluruh negara resah dan gelisah kerana walaupun sudah seminggu PRU ke-14 selesai, namun tidak nampak bayangan jelas pembentukan Kabinet.

Setakat ini banyak pengumuman dasar dan halatuju kerajaan diumumkan oleh mereka yang bukan menteri dan ini bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan. Malah ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian.

Menjadi harapan kami penubuhan Kabinet berjalan dengan teratur demi kesejahteraan rakyat dan negara. Urusan mentadbir negara perlu didahulukan daripada pertimbangan lain.

Dalam masa yang sama, UMNO mahu proses perlantikan Menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja.

Perlantikan ahli Kabinet yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibatkan negara kita hilang integriti dan tidak dihormati .

Umpamanya pengumuman YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri mendapat reaksi negatif daripada rakyat. Pastinya YAB Tun Dr Mahathir Mohamad tahu YB Lim Guan Eng kini menghadapi pertuduhan rasuah dan akan menjalani proses perbicaraan. Tidak hairanlah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ‘u-turn’ mengenai perlantikan Menteri Kewangan apabila tindakannya dipersoalkan oleh rakyat.

Sementara kami mahu supaya kerajaan PH mentadbir negara dengan baik dan tenteram, kami juga mahu Kerajaan Pakatan Harapan segera memenuhi janji-janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari kerana rakyat sedang memerhati. Ini termasuk memberikan autonomi segera kepada negeri Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15% royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan. Pastinya pakar-pakar ekonomi yang telah dilantik akan mampu mencari jalan untuk mengotakan semua janji-janji ini.

Kami ucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan PH dan berharap mereka bekerja keras untuk memakmurkan negara dan menjaga kepentingan rakyat.

Abdul Rahman Dahlan
Ahli
Unit Komunikasi Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
16 Mei 2018

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.