Bila Tembok Sudah Runtuh Semua Benda Hendak Dicabar

Share


BARU-baru ini negara digemparkan dengan kenyataan Mahathir yang berkata kerajaan Pakatan Harapan(PH) akan meneliti dan mempertimbangkan 25 tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) termasuk berkaitan tanah rancangan FELDA dan kemasukan ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ramai pihak berpendapat Mahathir tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

HINDRAF 2.0 mendesak supaya kerajaan PH menyediakan tanah seperti tanah rancangan FELDA kepada kaum India yang berpendapatan rendah, selain membuka kemasukan UiTM kepada semua kaum. Ketua Umum HINDRAF, P Uthayakumar, dilaporkan berkata mereka menuntut supaya UiTM yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu dibuka untuk semua kaum terutama kaum India dari golongan B75.

Memorandum mengandungi tuntutan itu diserahkan kepada kerajaan PH menerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Tuntutan tersebut mendapat bantahan daripada Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) yang mewakili 700,000 alumni universiti berkenaan membantah tuntutan tersebut.

Kita sedia maklum bahawa perkara tersebut amat sensitif kepada orang Melayu yang merupakan “tuan tanah” negara ini. Namun status “tuan tanah” tersebut bagaikan sudah hilang apabila tembok kekuatan orang Melayu iaitu Barisan Nasional sudah runtuh dalam Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini. Semua perkara dilihat mahu dicabar.

Malah desas desus desakan menghapuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang bertiup kencang. Untuk makluman, perkara tersebut perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan.

Peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan, Islam adalah agama Persekutuan dan penubuhan JAKIM tidak pernah menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara aman dan damai.

Perkara 3(1) menjelaskan kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri, manakala Perkara 3(2) menggariskan Yang di-Pertuan Agong adalah adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Perkara 3(5) menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan Kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun semua perkara dalam Perlembagaan Persekutuan ini bukan penghalang golongan yang tidak bertanggungjawab ini untuk merosakkan keharmonian negara dan menjaga hati “tuan tanah”.

Apakah kita akan terus melihat legasi orang Melayu dicabar satu persatu dengan rakus? UiTM, FELDA dan JAKIM telah dicabar. Jangan terkejut beberapa legasi orang Melayu yang lain akan mengalami nasib yang sama. Kita perlu istiqamah dan mencari jalan bagi mengatasi perkara ini.

Jadilah Aur dengan tebing. Jangan jadi gunting dalam lipatan.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *