PEMBERIAN BONUS AIDILFITRI UNTUK PENEROKA FELDA DAN PENJAWAT AWAM HARUS DITERUSKAN

Share


1. Pertama, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan PH atas janji pembayaran kedua BR1M yang sebelum ini memang telah dijadualkan untuk dibayar pada Jun 2018 sebelum hari raya di bawah Kerajaan BN.

2. Pemberian ini akan memeriahkan Hari Raya Aidilfitri kepada berjuta-juta penerima, yang akan menyambutnya dalam dua minggu lagi.

3. Bagaimanapun, kami memandang berat dengan kenyataan bahawa Kerajaan PH masih belum mengesahkan lagi akan membayar ataupun menyatakan jumlah bonus hari raya untuk penjawat awam.

4. Di bawah Kerajaan BN sebelum ini, setiap individu dalam sektor perkhidmatan awam akan dibayar bonus hari raya sebanyak RM 500 setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan kerja keras mereka.

5. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengatakan bahawa ekonomi kita kukuh dan kuat tetapi pada hari berikutnya apabila ditanya mengenai pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam, beliau memberikan alasan bahawa ekonomi kita lemah dan akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya hanya untuk penjawat awam yang bergaji rendah. Tetapi, itu pun masih belum disahkan lagi.

6. Tidak membayar bonus akan menjadi tamparan berganda kepada pekerja sektor perkhidmatan awam kerana Kerajaan PH juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji mereka yang dirancang untuk tahun ini, memandangkan ini adalah janji BN dan bukan janji PH.

7. Sepanjang sembilan tahun lalu, Kerajaan BN di bawah YB Dato’ Sri Najib Razak telah memberi perhatian khusus untuk memperbetulkan kedudukan tangga gaji untuk penjawat awam bergaji rendah, yang kami anggap sebagai suatu ketidakadilan untuk mereka. Sebagai contoh, gaji bulanan untuk pembantu pentadbiran adalah sebanyak RM 650 pada tahun 2007, dinaikkan secara berperingkat-peringkat kepada RM 1,400 menjelang tahun 2018.

Kami berharap kerajaan PH mengiktiraf keadaan sektor perkhidmatan awam dan jurang gaji yang besar berbanding sektor swasta.

8. Menyedari cabaran yang dihadapi oleh peneroka FELDA, Kerajaan BN sebelum ini juga telah membayar bonus hari raya kepada semua isi rumah peneroka FELDA. Jumlah ini juga sebanyak RM 500 pada tahun lepas.

9. Namun, setakat ini Kerajaan PH belum lagi mengumumkan bahawa peneroka FELDA akan mendapat pembayaran sempena hari raya nanti.

10. Kami berharap Kerajaan PH tidak menggunakan “hutang negara” yang diuar-uarkan angkanya RM 1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar para peneroka FELDA dan mengkhianati kepercayaan sesetengah peneroka ini yang telah mengundi PH pada PRU14 yang lalu.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur
29 Mei 2018



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *