UMNO harap polis akan pulangkan dananya

UMNO berharap pihak polis akan memulangkan wang yang dirampas dari bekas presidennya minggu lepas, kepada parti itu kerana ia merupakan sebahagian daripada dana parti.

UMNO dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, dana parti dan baki sumbangan kempen itu sedang dalam proses untuk dipindahkan kepada kepimpinan baru parti sejurus peletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden UMNO.

“Secara umumnya, Presiden UMNO bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk UMNO termasuk dana bagi Pilihan Raya Umum. Hal ini termaktub di dalam Perlembagaan parti,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut turut menyebut UMNO yang sedang dalam proses pembinaan semula parti dan pemulangan dana ini akan membantu proses tersebut.

“Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana tersebut serta mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses dan penyelidikan oleh pihak berkuasa yang relevan,” tambah kenyataan itu.

Pihak polis dalam satu pemeriksaan ke atas sebuah unit kondominium mewah di sini minggu lalu, telah mengambil sebanyak 72 beg pakaian pelbagai saiz berisi wang tunai dari pelbagai negara dan barang kemas, dan 284 kotak mengandungi beg tangan.

Belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai nilai barangan yang ‘diambil’ tersebut, namun nilai keseluruhannya dipercayai melebihi ratusan juta ringgit. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *