UMNO Mula Mempertahankan Najib

DUA kenyataan dari pergerakan Pemuda UMNO kelmarin, berhubung keadaan yang sedang dihadapi bekas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang ini, membuktikan bahawa UMNO sudah mula mengorak langkah untuk mempertahankan beliau.

Antara lain, penafian Ketua Pemuda berkaitan laporan media yang dilihat cuba mengeruhkan hubungan beliau dengan Najib dan terbaru, kenyataan ketua penerangan pemuda berhubung beberapa siri serbuan yang dijalankan ke atas kediaman peribadi dan kediaman lain yang dikaitkan dengan Najib.

Ini adalah satu perkembangan yang positif kerana sememangnya sejak Najib berhadapan dengan beberapa tindakan yang dijalankan ke atas beliau sekarang, hampir tidak ada kepimpinan UMNO yang memberikan kenyataan berkaitan sekalipun nampak ada beberapa perkara yang boleh ditegur dalam memastikan hak asasi Najib disisi undang-undang terpelihara.  Bukan mahu mempersoalkan tindakan pihak berkuasa, sekadar menegur jika ada kelemahan di sana sini dalam melaksanakan semua tindakan tersebut.

Berdasarkan kenyataan peguam Najib semalam, nampak wujud beberapa isu yang lebih molek kalau diulas oleh kepimpinan UMNO dalam menunjukkan solidariti kita.

Semua ini sebenarnya adalah jauh lebih baik berbanding jika pemimpin Pakatan yang disiasat pihak berkuasa.  Sejak 1998 kita telah melihat pelbagai tindakan penyokong mereka yang bertentangan dengan undang-undang bila pemimpin mereka menghadapi siasatan.  Apa yang ahli-ahli UMNO mahu lihat ialah kepimpinan parti terus berada di belakang Najib selagi beliau belum didapati bersalah oleh Mahkamah.

Penulis percaya dalam keadaan sekarang, ahli-ahli UMNO mahu melihat lebih banyak kenyataan seperti ini datang dari kepimpinan parti kerana kita percaya Najib tidak melakukan semua tuduhan yang dikaitkan dengan beliau itu.

One thought on “UMNO Mula Mempertahankan Najib

  • May 20, 2018 at 4:47 pm
    Permalink

    Sekarang ini pihak kerajaan cuba memburukkan imej Ds Najib dimata dunia…kita sepatutnya berdiri teguh dan bersama mempertahankan Ds Najib ….

    Nak berbalah hal sbelum PRU biar secara tertutup ..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *