Mufti Wilayah tegur warga netizen yang suka mengaibkan orang lain

Warga netizen ditegur supaya memelihara kemuliaan bulan Ramadan dengan tidak berkongsi perkara-perkara yang boleh mengaibkan orang lain dan mengeluarkan perkataan yang tidak baik terutama melibatkan kes siasatan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, ini kerana beliau mendapati di laman-laman sosial seperti Facebook, orang ramai tidak segan silu mengeluarkan kata-kata yang mengaibkan sebagai respons dan tindak balas mereka terhadap perkembangan kes siasatan melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

“Saya tidak bertujuan untuk menyokong mana-mana pihak akan tetapi saya kesal apabila kalangan umat Islam seolah-olah sudah terlupa bahawa mereka sedang berpuasa.

“Yang tidak sahaja menahan diri dari makan dan minum tetapi yang penting memelihara hati, perasaan dan cara kita mengolah perkataan kita terutamanya di laman-laman media sosial.

“Biarlah polis menjalankan tugas mereka dan sebagai warga netizen, kita tidak berhak untuk menjatuhkan hukuman sehingga memberikan aib kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Program Quran Hour A Night With Mufti anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Istana Budaya di Lambang Sari Istana Budaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir Wakil Kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdurrahman Harfi, Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Hampir 400 umat Islam yang hadir termasuk artis selebriti tanah air seperti pasangan suami isteri Datuk Khalid Mohd. Jiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Abdul Rahman Hassan, Norman Hakim, Heliza Helmi, Ashraff Muslim dan Adam Corrie untuk membacakan surah Al Hujurat beramai-ramai, sebagai surah tema program Quran Hour.

Sesi tadabbur dan tazzakkur al-Quran dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul Rumah Ngaji, Fazrul Ismail.

Zulkifli meminta supaya warga netizen supaya lebih tumpukan perhatian terhadap menambahkan amal ibadah dan mengejar ganjaran pahala sepanjang bulan Ramadan sambil memohon kepada tuhan supaya menutupkan aib dan melebihkan rahmat dan kasih sayang sesama umat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *