Tiada pemimpin PKR hadir mesyuarat putuskan Kabinet

Share

Pemimpin PKR dikatakan tidak hadir mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (Harapan) semalam untuk memutuskan Kabinet baharu mereka.

Sumber dari beberapa parti komponen berkata, mesyuarat yang diadakan itu adalah susulan daripada mesyuarat sebelum ini yang melibatkan empat pemimpin parti pada Jumaat lalu, untuk membincangkan senarai Kabinet.

“Oleh kerana rundingan lanjut diperlukan, mesyuarat majlis presiden kemudian dijadualkan pada hari berikutnya dengan setiap pihak dikehendaki menghantar lima wakil,” katanya dipetik menerusi portal Malaysia Kini.

Susulan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam hanya mengumumkan tiga jawatan Kabinet, iaitu Kementerian Pertahanan, Kewangan dan Dalam Negeri.

Pengumuman tersebut dihadiri pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, tanpa kehadiran pemimpin PKR.

Menurut seorang lagi sumber, tiga pemimpin PKR hadir mesyuarat pada mulanya, namun meninggalkannya sebelum ia bermula.

“Mesyuarat itu kemudiannya diadakan sekitar jam 9 pagi hingga 3 petang tanpa wakil PKR,” katanya.

Justeru, sumber itu berkata, tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Amanah sebagai menteri kanan oleh Dr Mahathir dibuat tanpa rundingan PKR adalah tidak benar.

Sementara itu, sumber dari pihak lain yang enggan dikenali turut bersetuju dengan pendapat tersebut.

Kelmarin, Dr Mahathir dikatakan bertemu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan senarai Kabinet di Hospital Rehabilitasi Cheras,

Namun, beliau meninggalkan tempat itu senyap-senyap dan tidak dapat dipastikan apa sebenarnya yang berlaku.

Sumber lain berkata, Dr Mahathir bergegas kerana kesuntukan masa kerana beliau perlu tampil dengan kerajaan yang stabil dengan sebuah kabinet, sebelum pasaran dibuka esok.

Cuti umum Khamis dan Jumaat selepas PRU14 lalu menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran.

Sinar

Leave a Reply