‘Tsunami Melayu’ akan serang pembangkang

Share


Tsunami Melayu akan berlaku tetapi bukan kepada Barisan Nasional (BN), sebaliknya ‘menyerang’ gabungan pembangkang PKR.

Ini kerana, sudah tiba masa orang Melayu dan Islam bangkit mempertahankan kedaulatan agama dan bangsa daripada terus dicemari mereka yang berada dalam pakatan pembangkang terutamanya DAP sejak sekian lama.

Kehadiran ramai orang Melayu dan Islam di ceramah anjuran PKR bukan kerana menyokong tetapi mahu menilai dan melihat sendiri perangai pemimpin pembangkang yang tidak berhenti menabur fitnah, sikap yang sama sekali tidak boleh diterima Islam.

Bukan mahu memainkan sentimen agama atau kaum, bukan juga mahu menghasut, namun hakikatnya, menurut Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Dr. Mohd. Akbal Abdullah, itu adalah ‘rupa bentuk’ sebenar DAP.

Malah, katanya, DAP juga secara jelas menyokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang perjuangan mereka bertentangan dengan Islam, namun ‘bertopengkan’ usaha memperjuangkan hak asasi manusia.

DAP dalam ceramah dan kempen mereka turut membuat kenyataan memperlekehkan Islam dan yang menyedihkan apabila pemimpin Melayu dan Islam yang bersama-sama mereka tidak cuba menegur atau menasihatkan pemimpin parti cauvinis itu.

“Kita tahu mereka hanya mempergunakan orang Melayu dan Islam untuk mencapai cita-cita menghapuskan kedaulatan Islam. Ini semua bukan perkara main-main kerana membabitkan soal agama dan sebagai orang Islam kita mesti menghentikan agenda DAP.

“Orang Melayu dan Islam sedang ‘dilalaikan’ PKR terutamanya DAP dengan propaganda memburuk-burukkan kerajaan supaya kita terlupa seketika bahawa mereka tidak langsung memperjuangkan agama Islam,” katanya kepada Utusan oNLINE di sini, hari ini.

Mohd. Akbal yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata, beliau dan rakan-rakan menerusi IKSIM mempunyai pelbagai maklumat berkaitan agenda sebenar DAP yang hanya memperkudakan orang Melayu untuk memerintah negara ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua orang Melayu dan Islam supaya segera bangkit daripada segala fitnah serta hasutan yang sudah menjadi ‘makanan ruji’ DAP yang kini ‘dijamu’ pula kepada rakyat berbilang kaum.

Tambahnya, orang Cina dalam gabungan pembangkang PKR tidak sama seperti kaum itu yang bersama-sama Barisan Nasional (BN) kerana mereka tahu menghormati agama kaum lain.

“Saya juga yakin sekiranya sikap biadap DAP terhadap Islam terus dibongkar, orang Melayu dan Islam pasti menolak mereka.

“Ini kerana, orang Melayu dan Islam tentu sekali tidak mahu bersama-sama dengan pakatan pembangkang dikuasai DAP yang jelas bukan sahaja tidak akan memperjuangkan agama Islam, malah agama lain yang tidak dianuti mereka,” tegasnya.

Justeru Mohd. Akbal sekali lagi menyeru semua umat Islam, institusi agama dan para huffaz untuk keluar mengundi mempertahankan kedaulatan Islam serta menghormati persefahaman yang ada dalam BN. – UTUSAN ONLINE


One thought on “‘Tsunami Melayu’ akan serang pembangkang

  • May 9, 2018 at 4:13 pm
    Permalink

    Kelantangan/keceluparan kaum cina meningkat kerana mereka disokong oleh orang kita juga. Kedua kerana ketiadaan akta yang boleh menyekat mereka menyentoh hal2 sensitif bangsa Melayu. Hal yang paling sensitif pada kita ialah agama.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *