Reputasi ‘buruk’ Mahathir, Muhyiddin bagi masyarakat Cina

UMUM mengetahui berlakunya ‘peralihan besar-besaran’ sokongan kaum Cina kepada DAP hingga ada menggelarnya sebagai ‘tsunami Cina’ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Buktinya, DAP memperoleh lebih 70 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen yang ditandinginya apabila memenangi 38 daripada 51 kerusi, dengan pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

Di Parlimen Gelang Patah (kini Iskandar Puteri), Kit Siang mengalahkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Namun, di sebalik kejayaan besar yang dikecapi DAP, keputusan itu masih gagal membantu pembangkang menumbangkan kerajaan BN dan nyata mengecewakan para pemimpin dan penyokong pembangkang, khususnya dalam kalangan orang Cina.

Dalam perbualan ‘kosong’ penulis dengan seorang wanita Cina di sini baru-baru ini, beliau secara jujur mengakui betapa ‘terkilannya’ masyarakat Cina kerana kegagalan pembangkang membentuk sebuah kerajaan.

“Semangat masyarakat Cina pada PRU-13 memang agak luar biasa dan mereka yakin pembangkang mampu menubuhkan sebuah kerajaan yang baharu. Slogan ‘Ubah’ dan ‘Ini Kalilah’ yang sering dilaungkan setiap kali ceramah ternyata menjadi pembakar semangat bagi mereka, namun apabila pembangkang gagal, mereka benar-benar kecewa.

“Ia memberi ‘trauma’ kepada masyatakat Cina pada pilih raya umum kali ini kerana mereka tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi seperti PRU-13 kerana takut dikecewakan sekali lagi,” katanya.

Apa yang diperkatakan wanita itu ada benarnya kerana sepanjang mengikuti beberapa siri ceramah gabungan pembangkang PKR di sekitar bandar raya ini, slogan ‘Ubah’ dan ‘Ini Kalilah’ yang kuat bergema sebelum ini bertukar dengan laungan ‘Pakatan Harapan’.

Selepas ‘tsunami Cina’ dilihat gagal menumbangkan kerajaan BN, gabungan pembangkang PKR kali ini mencanangkan akan berlakunya ‘tsunami Melayu’ bagi mempengaruhi pemikiran dan menarik sokongan masyarakat berkenaan.

Ditanya bagaimana penerimaan masyarakat Cina terhadap beberapa bekas pemimpin UMNO menyertai pembangkang, terutamanya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, wanita itu berkata, kedua-dua pemimpin itu mempunyai reputasi ‘buruk’ khususnya dalam kalangan warga emas di negeri ini.

Antara peristiwa yang paling diingati ‘orang lama’ dalam kalangan masyarakat Cina adalah Operasi Lalang apabila seramai 106 rakyat Malaysia, termasuk pemimpin pembangkang dan kerajaan yang menentang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeeri (ISA) pada 1987 ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Antara pemimpin yang ditahan dalam operasi tersebut ialah Presiden PAN, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai; Exco Pemuda UMNO, Mohamed Fahmi Ibrahim dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Selepas menyertai ‘blok’ pembangkang dan menjadi Pengerusi PPBM, Dr. Mahathir akhirnya memohon maaf atas peristiwa itu, namun beliau tidak mengaku kesalahan yang didakwa dilakukannya selama ini.

“Saya mengaku salah walaupun penahanan bukanlah keputusan saya,” tulis Dr. Mahathir dalam blognya.

Menurut wanita itu, orang Cina juga masih ingat bagaimana mereka mempertahankan dinding tokong Johor Old Temple di Jalan Trus, Johor Bahru pada tahun 80-an ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor.

“Penduduk Cina ketika itu tidak bersetuju dinding hadapan tokong yang telah berusia lebih 100 tahun itu dirobohkan bagi projek pelebaran jalan di kawasan berkenaan. Ini kerana tokong itu adalah tempat suci dan tindakan merobohkan dinding itu seolah-olah tidak menghormati kesucian agama mereka.

“Ketika itu, ada yang sanggup bermalam di hadapan tokong bagi mengelakkan jentolak daripada merobohkan dinding berkenaan, namun akhirnya mereka akur,” katanya yang mengakui ramai generasi muda tidak mengetahui tentang peristiwa berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply