Wahai Daim, kesetiaan kami tidak boleh dijual beli

Share


APA nilai Sabah dan Sarawak kepada PKR? Sedangkan dua negeri ini adalah entiti penting dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

Namun, sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang kini berbaki hari terakhir, kelibat bakal Perdana Menteri sementara PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad langsung tidak kelihatan di negeri-negeri tersebut.

Begitu juga dengan tiadanya kelibat Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di kempen-kempen gabungan itu di negeri tersebut sedangkan beliau bakal menjadi orang nombor dua Dr. Mahathir sekiranya kemenangan kepada PKR menjadi realiti.

Alih-alih, panglima baru yang tak berapa nak baru PKR, Tun Daim Zainuddin berkata, ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan ‘swing’ atau ‘melompat’ kepada PKR andai Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti seperti mana dalam temu bualnya dengan The Straits Times Singapura.

Pandangan beliau ini bukan sahaja tidak berpijak di bumi yang nyata tetapi menggambarkan mentaliti seperti penjajah yang pada mereka wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak boleh meletak tepi prinsip.

Daim, lupakah dalam tempoh PRU-12, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari negeri mana yang buat pasal dengan melompat kalau bukan dari DAP dan PKR sendiri.

Dan sebelum itu, projek 16 September yang dipukul canang suami Wan Azizah dulu pun sasaran mereka wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak. Kononnya ada angka mencukupi tapi sampai sudah Anwar dan Wan Azizah gigit jari.

Entah kenapa, asal lompat parti sahaja hendak dikaitkan dengan Sabah dan Sarawak? Cukup-cukuplah mempunyai persepsi yang merendahkan orang lain seperti itu.

Ingat Daim dan Anwar yang merupakan Menteri Kewangan di era Dr. Mahathir. Apa Sabah dan Sarawak dapat? Era Dr. Mahathir terlalu sinonim dengan ‘pembangunan berpaksikan Semenanjung’, sehingga melekat dalam hati rakyat Sabah dan Sarawak.

Ini berbeza kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang. Kepimpinan yang mengutamakan pembangunan di seluruh negara tanpa meninggalkan mana-mana wilayah termasuk Sabah, Sarawak dan Kelantan. Ini lah yang mampu menambat hari rakyat.

Bukan tampil dengan persepsi penuh keangkuhan konon wakil Sabah dan Sarawak mudah-mudah akan lompat parti. Mereka pemimpin berprinsip sama seperti orang lain yang menjunjung tinggi amanah. Keluarlah dari lamunan Daim.

Memetik kata-kata seorang pemimpin berpengaruh dalam kalangan masyarakat Bidayuh yang juga bekas Timbalan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Peter Minos:

“Kesetiaan kami tidak boleh dijual beli. Ingat Tun Daim, kami di Sarawak akan tetap bersama BN dalam susah atau senang,”. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *