Undi Saya Untuk BN

oleh Ab Jalil Backer

Rabu ini, saya, saudara dan 14 juta rakyat Malaysia akan turun mengundi bagi menentukan hala tuju negara kita, untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang. Bagi Barisan Nasional ia sudah mula merancang pembangunan negara sehingga 2050.

Tampak pertarungan kali ini bukan sekadar antara Barisan Nasioanl, Pas dan PKR, namun ia lebih kepada pertarungan Tun Dr Mahathir Mohamad (DAP) menentang Dato’ Sri Mohd Najib Razak (BN) dalam menentukan siapa yang berhak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (PAS) pula dijangka menjadi “king maker” selepas Pilihan Raya Umum nanti.

Saya menggunakan frasa Mahathir Mohamad (DAP) kerana Mahathir tidak membawa idea dan fahaman beliau lagi, tetapi hanya menjadi burung kakak tua DAP. Apa yang Mahathir cakap ini hanyalah tema cerita DAP sejak penubuhan sehingga sekarang. Cuma jika dulu Mahathir menjadi antagonis (pelakon jahat) mereka, hari ini Mahathir adalah protagonis (hero) DAP.

Yang berubah hanya watak, latar masa dan jalan cerita. Tema tetap sama iaitu negara ini dalam keadaan tenat, penuh korupsi, kronisme dan akan muflis. Barisan Nasional dan UMNO jahat, perkauman, menipu Melayu dan menindas orang miskin.

Mahathir dan DAP berkunjung ke seluruh negara menyatakan negara ini menuju kehancuran, dibebani masalah hutang dan korupsi melampau. Hakikatnya, Malaysia di bawah Najib Razak tidak pernah gagal membayar apa-apa hutang. Jadi bagaimana ia menuju kehancuran atau bakal muflis?

Pada masa ini Malaysia diberi penarafan dalam kategori “upper medium grade” oleh ketiga-tiga agensi penarafan antarabangsa (Moody’s, S&P dan Fitch). Ini merupakan kategori kedua terbaik dan membolehkan apa sahaja pinjaman negara mendapat kadar faedah yang lebih murah dan menjadi indeks petunjuk yang positif untuk pelabur.

Mahathir juga menuduh Najib Razak memperkenalkan GST 6% untuk “merompak rakyat” bagi membayar hutang negara dan 1MDB. Ini bukan tuduhan berfakta. Ia hanyalah untuk mengelirukan rakyat kononnya kerajaan ini zalim.

Jika GST bertujuan merompak rakyat, mengapa Kerajaan memperkenalkan sistem ini pada kadar 6% menggantikan SST yang berkadar antara 6%-20%? Ia tidak masuk akal kerana walaupun GST cukai pelbagai peringkat namun pada akhir rantaian terbabit jumlah yang dibayar oleh pengguna tetap 6%. SST walaupun cukaikanya satu peringkat namun jumlah yang dibayar pada akhirnya tetap 6%-20% bergantung kepada jenis barang dan perkhidmatan.

Sudah tentu kutipan GST lebih tinggi kerana ia lebih efisyen. Apa yang dikutip mesti dibayar kepada kerajaan berbanding SST yang banyak ketirisan.

Rakyat perlu ingat adalah tidak benar Mahathir dan DAP berjanji mahu menghapuskan GST. Mereka hanya berjanji untuk menggantikan GST dengan sistem cukai baharu. Justeru kita perlu bertanya, apa jaminan sistem baharu lebih baik dari GST?

Apa jaminan sistem baharu tidak akan menaikkan harga sekali lagi? Sudah tentu tidak ada jaminan. Apabila harga petrol meningkat sehingga RM2.90 seliter pada 2008, peniaga semua berlumba-luma menaikkan harga dengan alasan kenaikan harga petrol. Namun apabila harga petrol turun kemudiannya, harga tidak juga turun, malah terus meningkat.

Apabila kita memperkenalkan GST, harga sepatutnya turun, namun ia terus naik dengan pelbagai alasan. Jika GST merupakan punca kenaikan harga barang, kenapa selepas 3 tahun pelaksanaan GST, harga barang masih terus naik? GST tidak lagi pernah naik selepas pengenalannya pada 2015. Namun tiga tahun selepasnya kita masih membincangkan harga barang. Nyata faktor lain yang mempengaruhi harga barang.

Mari kita berfikir secara waras, apakah sistem hebat yang Mahathir ada untuk menggantikan GST tanpa memperjudikan peruntukan subsidi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar? Mustahil Mahathir begitu hebat sehingga ahli ekonomi dunia dan Bank Dunia tidak mampu memikirkannya.

Apabila kita keluar mengundi nanti, mari kita bertanya kepada hati nuraini dan akal waras kita.

Benarkah sebuah negara yang menyediakan terlalu banyak kebajikan terutama untuk kesihatan, pendidikan, dana perniagaan usahawan kecil, perkhidmatan pengangkutan bertaraf dunia, kebajikan anggota keselamatan dan perubatan yang jauh lebih baik dari dulu sedang menuju kehancuran?

Indikator yang ada, sama ada data ekonomi negara mahu pun Bank Dunia menunjukkan kita berada di landasan yang betul. Bank Dunia menganggarkan Malaysia akan mengalami pertumbuhan 5.7% pada tahun ini. Jauh melebihi negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. Jumlah KDNK kita pada 2017 ialah RM1.3 trillion. Ini merupakan pencapaian tertinggi negara.

Tun Mahathir dan DAP sering melaungkan negara akan muflis kerana hutang kerajaan berjumlah RM688 bilion. Jumlah hutang negara hari ini adalah pada kadar di bawah 55% daripada KDNK negara. Pada zaman Mahathir hutang negara pernah mencecah 107% berbanding KDNK negara. Ini bermakna pada zaman Mahathir, kerajaan berhutang melebihi kemampuan.

Apa yang berlaku hari ini ialah persepsi sedang menyesatkan kita. Mahathir sering menyatakan bahawa pada usia 93 tahun beliau perlu kembali untuk menyelamatkan negara.

Persoalan saya, menyelamatkan negara daripada apa jika kehidupan kita semua hari ini jauh lebih baik dari zaman beliau? Saya boleh dan layak bertanya soalan ini kerana lebih 20 tahun kehidupan saya adalah pada zaman Mahathir.

Menyelamatkan negara dari apa jika beliau bersengkongkol dengan DAP yang dikuasai oleh peniaga tamak? Menyelamatkan negara dari apa jika beliau bersengkongkol dengan Anwar Ibrahim yang beliau tuduh agen negara asing?

Menyelamatkan negara dari apa, jika beliau bersengkongkol dengan media asing yang selama berpuluh tahun sebelum ini beliau tuduh sebagai agen untuk menjatuhkan Malaysia?

Saya fikir Mahathir hanya mahu menyelamatkan keluarga dan kroni beliau, dan mati dalam ego yang tinggi.

Kita semua perlu membuat pilihan berasaskan fakta bukan persepsi, emosi dan simpati. Ingat lima tahun boleh berubah negara ke zaman belakang jika tidak berhati-hati.

Jika tidak kerana fakta pun undilah Barisan Nasional yang telah menyediakan pelbagai bantuan dan sokongan kepada rakyat dari Bantuan Rakyat 1 Malaysia, 1AZAM, puluhan dana usahawan Bumiputera, Skim Bantuan Pelajar Sekolah, mensubsidi RM8900 setahun untuk setiap pelajar sekolah kebangsaan, Skim Bantuan Petani dan Pekebun Getah, Biasiswa anak-anak luar bandar dan ribuan program lagi.

Tidak semua kerajaan akan melaksanakannya program kebajikan sedemikian banyak. Apatah lagi jika ia dipimpin oleh seseorang yang pernah diberi peluang selama 22 tahun tetapi memandang sepi kita di bawah dan hanya bercakap soal projek mega.

Justeru jika ada sedikit kebaikan kerajaan Barisan Nasional dan Najib Razak kepada anda, undilah untuk parti ini meneruskan kemajuan dan kemakmuran negara. Mengapa harus dibunuh angsa bertelur emas hanya kerana dijanjikan angsa emas?

Jika anda tidak mengambil kira semua ini, cuba fikirkan apa sebenarnya realiti hari ini dalam parti pembangkang. Mahathir selama berdekad dituduh rasuah, zalim, mengamalkan rasuah, merosakkan negara, menghancurkan institusi kehakiman dan keadilan negara kini hendak diangkat menjadi Perdana Menteri sekali lagi oleh DAP dan PKR. Bolehkah parti ini dipercayai?

Undi saya untuk Barisan Nasional!

Leave a Reply