MASA UNTUK MALAYSIA MEMBUAT PILIHAN: REKOD PRESTASI CEMERLANG BN, ATAU BENCANA DI BAWAH PAKATAN YANG TIADA KESEPAKATAN

Share

1. Pada Pilihan Raya Umum kali ini, rakyat Malaysia berhadapan dengan dua pilihan. Pilihan pertama adalah rekod prestasi cemerlang Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak. Sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009, pendapatan negara kasar Malaysia telah berkembang lebih 50%, 2.7 juta pekerjaan baharu telah dicipta, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah dan kadar kemiskinan telah dikurangkan dengan ketara. Ternyata ekonomi Malaysia sedang berkembang dengan begitu pesat sehingga Bank Dunia terpaksa mengkaji semula unjuran pertumbuhan negara sebanyak tiga kali pada 2017, dan angka mutakhir 5.9% jelas lebih tinggi daripada unjuran-unjuran awal.

2. Tambahan pula, Perdana Menteri telah memperkenalkan langkah-langkah yang paling meluas sejak kemerdekaan untuk mengukuhkan kebebasan bersuara dan demokrasi. Sebagai contoh, Akta Keselamatan Dalam Negeri telah dimansuhkan; Undang-Undang Darurat yang wujud selama lebih 60 tahun telah ditamatkan; kebebasan media diperkukuhkan dengan membubarkan sekatan ke atas lesen penerbitan akhbar, Akta Universiti dan Kolej Universiti telah diperbaharui bagi membenarkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik; dan Akta Perhimpunan Aman telah diluluskan, menjamin hak untuk berhimpun secara aman berlandaskan undang-undang buat kali pertamanya dalam negara kita.

3. Jadi perancangan Perdana Menteri untuk kesejahteraan ekonomi dan keamanan Malaysia dan rakyatnya berjaya dilaksanakan, dan beliau mengharapkan rakyat Malaysia menilai Kerajaan berdasarkan rekod tersebut.

4. Pilihan kedua untuk rakyat Malaysia adalah untuk memilih pakatan pembangkang, yang mana calon Perdana Menterinya adalah seorang diktator yang mengakui sendiri bahawa beliau seorang diktator. Beliau adalah seorang individu yang taksub dengan kawalan, seorang individu yang berfikir bahawa selepas 22 tahun, Malaysia hanya boleh ditadbir oleh beliau sahaja, seorang yang memenjarakan mereka yang menentang beliau, mengawal media serta menyekat kebebasan bersuara, seorang yang telah merosakkan sistem pendidikan, seorang yang melahirkan kapitalis-kapitalis kroni, seorang yang campur tangan dalam sistem pilihan raya, dan seorang yang memaksa sistem kehakiman untuk tunduk kepada telunjuk beliau dengan menggantung Mahkamah Agung, memecat anggota-anggota kanan Badan Kehakiman apabila mereka tidak bersetuju dengan beliau, dan mengubah Perlembagaan Negara.

5. Beliau adalah seorang yang kerap melontarkan tuduhan-tuduhan yang melampau serta palsu terhadap sesiapa yang menentang beliau, termasuklah menuduh Perdana Menteri sebagai pencuri walaupun tiada secebis bukti pun. Memang lumrahnya seorang pencuri akan beranggapan bahawa orang lain pun turut sama mencuri.

6. Sejak anak beliau Mukhriz kalah teruk dalam pilihan raya UMNO pada 2013, yang mana beliau menyalahkan Perdana Menteri, Mahathir telah bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat. Setelah gagal menyediakan laluan untuk anak beliau, Mahathir kini bekerjasama pula dengan pembangkang kerana terdesak.

7. Tidak seperti BN, pembangkang tidak langsung ada rekod prestasi, dan kini mereka bermotifkan penipuan pula. Kempen ‘reformasi’ mereka telah tercipta kerana ingin menentang Mahathir secara peribadi, dan ramai pemimpin-pemimpin mereka telah dipenjarakan oleh Mahathir. Realitinya, DAP memegang majoriti kerusi-kerusi Parlimen pembangkang berbanding hanya satu kerusi sahaja di bawah parti Mahathir, maka jelaslah bahawa DAP yang paling berkuasa dalam pakatan pembangkang. DAP hanya mempergunakan warga emas itu untuk memecahkan undi Melayu. Jika mereka menang, mereka tidak akan membenarkan Mahathir menjadi Perdana Menteri kerana mereka sangat mengenali beliau. Dan setelah membuat janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim selepas enam bulan, kini beliau berkata bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya 2-3 tahun pula.

8. Hakikatnya, jika pembangkang cuba untuk membentuk sebuah Kerajaan, perbezaan ideologi antara mereka sudah pasti akan memecah-belahkan mereka, dan dasar-dasar ekonomi mereka yang populis dan tidak bertanggungjawab akan menyebabkan negara kita menjadi bankrap. Malaysia akan berhadapan dengan bencana sekiranya ini berlaku. Rakyat Malaysia pastinya matang untuk tidak membenarkan perkara ini berlaku.

DATUK SERI TENGKU SARIFFUDDIN,

SETIAUSAHA AKHBAR PERDANA MENTERI

Leave a Reply