Tanya Dr. M jika mahu cakap tentang rasuah

Share

Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Tun Daim Zainuddin perlu bertanya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekiranya ketiga-tiga veteran UMNO itu mahu bercakap mengenai rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Dr. Mahathir pernah dilabelkan sebagai perasuah terbesar negara oleh sekutu-sekutunya dalam gabungan pembangkang PKR.

“Kalau Rafidah, Rais dan Daim mahu bicara rasuah dan salah guna kuasa, jangan takut tanya Mahathir yang dilabel perasuah terbesar Malaysia oleh kawan mereka dalam pembangkang. Barulah ada kredibiliti dan legitimasi hujah mereka mahu jadi juara antirasuah,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya semalam.

Hari ini, Lembaga Disiplin UMNO telah memecat Daim dan Rafidah kerana bersekongkol dengan pembangkang, manakala Tan Sri Rais Yatim masih disiasat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman mendakwa, Rafidah, Rais dan Daim adalah sebahagian daripada legasi sistem kroni kapitalis Dr. Mahathir yang pernah didakwa oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai sistem rasuah sistematik berbilion ringgit ciptaan bekas Perdana Menteri itu.

Justeru, beliau menyifatkan ketiga-tiga bekas pemimpin kanan itu tidak mempunyai kredibiliti dan legitimasi berbicara mengenai rasuah.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menyindir Rafidah dan Daim dengan melabelkan mereka sebagai ‘plastik’ kerana kononnya mahu memperjuangkan antirasuah bersama pembangkang sedangkan pernah terpalit dengan tuduhan rasuah.

“Berpuluh tahun, Rafidah dan Daim sendiri terpalit dengan tuduhan rasuah oleh pembangkang. Takkan sekarang dengan mudah mahu jadi juara anti rasuah? Nampak sangat ‘keplastikan’ mereka.

“Bila Rafidah dan Daim berbicara tentang rasuah, terasa geli mendengarnya. Lebih geli bila Dr. Mahathir duduk tersenyum di atas pentas yang sama. Plastik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!