Kerajaan DAP P. Pinang lebih mesra pemaju berbanding rakyat sendiri?

Share


Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak, Oh Tong Keong mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang lebih mesra pemaju berbanding rakyat negeri ini sendiri.

Katanya, situasi itu berlaku sejak mereka mengambil alih pentadbiran negeri ini daripada BN pada 2003 dan berlarutan hingga ke hari ini.

“Jika mereka betul-betul serius mahu membantu penduduk Pulau Pinang, mengapa bina banglo-banglo dan kondominium mewah sahaja di sana sini?

“Untuk siapa mereka bina semua itu? Untuk orang miskin? Tidak! Semua itu untuk orang kaya-kaya dan keuntungan pemaju sahaja,” katanya dalam Ceramah ‘Kisah Benar’ atau Ceramah Biru di Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, di sini malam ini.

Ceramah tersebut mendapat sambutan luar dugaan apabila lebih 1,000 orang hadir seawal pukul 7.30 malam.

Sementara itu, calon BN untuk kerusi DUN Batu Uban, H’ng Chee Wey pula menyelar tindakan gabungan pembangkang PKR yang memperkenalkan slogan ‘Selamatkan Malaysia’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Rakyat Pulau Pinang menderita kerana setiap lima tahun sekali mereka (PKR) akan menukar calon mereka.

“Nak selamatkan Malaysia? Selamatkan Pulau Pinang dulu!” tegasnya.

Chee Wey turut mengingatkan pengundi di negeri memilih calon yang benar-benar boleh menjadi wakil rakyat mereka, bukannya wakil kepada Ketua Menteri sahaja yang merujuk kepada pemimpin DAP di sini.

Turut menyampaikan ceramah pada malam itu ialah Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow; Pengerusi MCA negeri, Tan Teik Cheng; Pengerusi Persatuan Klan Cina Pulau Pinang (PCCA), Chang Wei Lu serta beberapa calon BN negeri yang lain. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *