Nik Omar… kemenangan bagi DAP

Share


APABILA Nik Omar Nik Abdul Aziz memilih PAN, pantas parti serpihan Pas itu menyebarkan rakaman video puji-pujian ayahandanya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ini bagi merasionalkan tindakan Nik Omar bahawa tidak salah bersama PAN, parti yang kini menjulang bekas seteru politik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai calon Perdana Menteri sementara gabungan DAP bersama PKR, PAN dan PPBM.

Rakaman video itu bagaima­napun hanya sekerat sahaja. Jika dilaporkan penuh, pujian bekas Mursyidul Am Pas itu sebenarnya bersyarat iaitu Dr. Mahathir hendaklah menerima dasar Islam sebagai landasan perjuangan, bukan nasionalis bukan sekular.

Malah, dalam memuji itu, Allahyarham sempat juga menyindir pegangan sekular Dr. Mahathir yang menentang keras pelaksanaan undang-undang jenayah syariah Kelantan yang antaranya kata Tok Guru:

“Sepatutnya semakin tua, beliau semakin tenang dan bahagia tapi kini tidak kerana fikirannya semakin kusut.”

Wartawan yang menemubual Nik Abdul Aziz di kediamannya bagi mendapatkan respons Allahyarham susulan tindakan Dr. Mahathir keluar UMNO pada 2008 itu pasti akan ingat, bukan sekadar video sekerat yang ditu­larkan PAN.

Ingat mereka itu bagaimana gembiranya Allahyarham memeluk Nik Adli, adik Nik Omar pada 2006 setelah beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001, ketika era pentadbiran Dr. Mahathir – individu sama yang dijulang PAN.

Menariknya, malam ini di Putrajaya, Nik Omar yang kelihatan cukup cermat tutur kata, sesuai dengan pendidikan agama yang tinggi diberi Allahyarham bapanya dijadualkan sepentas dengan Dr. Mahathir.

Memang politik seni serba kemungkinan, namun Nik Omar tidak harus meletak diri ke tahap Presiden PAN, Mohamad Sabu atau kepemimpinan DAP kerana mereka saling mempergunakan Dr. Mahathir untuk kuasa tanpa memikirkan soal penerimaan dasar Islam yang dititipkan Tok Guru.

Bagi Nik Omar, Pas tidak boleh menang apabila bersendirian sebab itu beliau memilih PAN yang bernaung di bawah DAP bersama PKR dan PPBM. Namun, dalam menjalinkan kerjasama politik menumbangkan Barisan Nasional (BN), ingatlah Allahyarham mengingatkan Pas sentiasa terbuka kepada mana-mana parti untuk DAP kembali (selepas keluar Barisan Alternatif) asalkan mereka menerima dasar Islam dibawa parti itu.

Dan sebagai manusia biasa, masih segar video tular Dr. Mahathir lima tahun lalu yang sungguh tidak cermat mulut mengata Nik Abdul Aziz dengan gelaran nyanyuk kerana bertanding pada usia 82 tahun. Bagaimana agaknya perasaan Nik Omar yang memilih PAN tanpa restu seorang ibu akan berhadapan dengan Dr. Mahathir malam tadi?

Utusan


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *