Krisis air: Azmin Ali tipu rakyat Selangor

Sebaran :

Krisis air di Selangor yang menjejaskan jutaan penduduk merupakan salah kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang enggan meluluskan program-program pembangunan sumber air, baik pulih bekalan air dan penggantian paip baharu yang dicadangkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awam Puncak Niaga Holdings Berhad, Prof. Datuk Dr. Mohd Zainul Fithri Othman berkata, Menteri Besar Selangor itu telah membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak tepat berhubung Puncak Niaga Holdings dalam siri ceramahnya sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Dr. Mohd Zainul, kenyataan ‘Non Water Asset’ oleh Mohamad Azmin sepatutnya tidak ditujukan kepada Puncak Niaga Holdings kerana berunsur fitnah dan tidak tepat.

“Sebenarnya harga belian yang dibayar adalah RM1.5553 bilion mengikut perjanjian jual beli hanya untuk aset yang berkaitan dengan konsesi air. Pemindahan ‘Non Water Asset’ kepada Puncak Niaga berdasarkan aset-aset ini tidak ada kaitan langsung dengan operasi air.

“Kenyataan Mohamad Azmin itu tidak tepat kerana krisis air bukan saja diukur oleh kolam penyimpan air mentah tetapi juga melibatkan bekalan air bersih kepada pengguna, tekanan rendah menyebabkan bekalan air bersih berkurangan, paip pecah yang menyebabkan bekalan terganggu serta masalah air minuman yang kotor dan tidak bersih.

“Jangan asyik beri alasan kononnya Selangor tidak ada masalah air kerana empangan semuanya masih penuh, tapi cuba fikirkan nasib pengguna yang saban hari menggunakan air kotor yang tidak bersih,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, Mohamad Azmin juga sering memberitahu kononnya air tidak wajar diswastakan selain mendakwa di bawah perjanjian konsesi air yang ditandatangani antara kerajaan negeri Selangor dan Syabas pada 2004, Syabas kononnya diberi hak untuk menaikkan tarif air setiap tiga tahun.

Bagaimanapun, Dr. Mohd Zainul berkata, kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana perjanjian itu hanya membolehkan Syabas mengemukakan permohonan kenaikan tarif untuk setiap tiga tahun namun tidak pernah diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor dan tarif air masih seperti yang ditetapkan oleh kami pada tahun 2007.

“Peruntukan pampasan tarif dalam perjanjian konsesi tidak pernah dihormati oleh kerajaan negeri sedangkan syarikat telah berbelanja berbilion ringgit. Akibat daripada penolakan kenaikan tarif tersebut telah menghalang kemampuan Syabas untuk melaksanakan kerja-kerja perbelanjaan modal (Capex) untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan bekalan air di Selangor.

“Namun Syabas ketika ini tetap berusaha mengurangkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) atau NRW sehingga berjaya diturunkan ke tahap yang mengagumkan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply