‘Kalau bankrap, nak betulkan padang pun tak mampu’

Terkini di My KMU !!!!---->

Kemampuan Kerajaan Persekutuan memenuhi pelbagai permintaan pembangunan termasuk di Selangor membuktikan dakwaan pembangkang kononnya negara sudah muflis adalah meleset, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, jika benar negara dalam keadaan muflis, sudah pasti calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak boleh meminta peruntukan pembangunan seperti yang dipohon di daerah ini.

Najib yang sempat berseloroh mengenai bayaran sarapan putu mayam bersama kari yang dinikmatinya pagi tadi, berkata kerajaan bertanggungjawab menyalurkan peruntukan pembangunan.

“Saya tidak bayar bil sarapan pagi, rupanya ada bil lebih besar menanti dalam dewan ini. Saya rasa lebih baik saya bayar sarapan pagi, sebab saya hitung dekat RM1 bilion (permohonan peruntukan). Saya kira kalau makan putu mayam tidak sampai RM1 bilion.

“Namun, inilah istimewanya Malaysia. Kalau Malaysia ini negara gagal atau bankrap seperti dikatakan pembangkang, tuan-tuan ingat calon Barisan Nasional (BN) boleh minta peruntukan macam ini?

“Tentu sekali kita tidak mungkin berupaya. Jangan cakap nak buat hospital, jangan cakap nak buat klinik kesihatan, nak baik pulih padang, nak baik pulih padang permainan pun tak mampu.

“Tapi, oleh kerana kita sudah menguruskan negara dengan begitu baik, banyak yang boleh dipertimbangkan. Don’t worry. Don’t worry, be happy (Jangan bimbang. Jangan bimbang, senangkan hati),” katanya.

Najib berkata demikian di hadapan kira-kira 500 warga pendidik dari Kuala Selangor pada lawatan kerja di daerah itu, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar; calon BN Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Zahar Azlan Arifin dan calon BN DUN Ijok, K Parthiban.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, ketika ini negara berada pada kedudukan ke-23 berdasarkan Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan mempunyai peluang untuk berada dalam kelompok 20 negara paling kompetitif.

Seperti mana murid mendapat kad laporan prestasi di sekolah setiap tahun, katanya, pentadbiran negara juga membentangkan laporan prestasi setiap lima tahun melalui proses pilihan raya.

“Malah, kita membentangkan laporan pada tiap tahun. Saya sebagai ketua kerajaan membentangkan laporan, tidak ada yang kita sembunyikan daripada rakyat.

“Kita telus dan setiap kali kita membentangkan laporan, kita dapat mengukur kerajaan BN melakukan inisiatif program berdasarkan Transformasi Negara 2050 (TN50) yang mencakupi setiap kelompok masyarakat kita, sama ada di bandar mahu pun di desa,” katanya.

Justeru, Najib berkata, untuk bergerak ke hadapan sebagai sebuah kerajaan, perlu ada keseragaman antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana banyak perkara yang tersangkut jika pentadbiran kedua-dua pihak datang daripada kelompok atau parti berbeza.

“Lihat sajalah masalah air di Selangor. Tan Sri Rozali (Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail) ada di sini, tak selesai-selesai. Projek Langat 2, kita belanja RM3.65 bilion, tetapi tak selesai.

“Sebab apa? Sebab kerajaan negeri ada pemikiran lain. Dia nak buat perkara lain. Dia nak ambil alih SPLASH pun tak selesai.

“Daripada zaman Menteri Besar dulu, RM250 juta sekarang ini nak bayar RM2.6 bilion banyak bezanya antara dua penilaian, tak selesai masalah air sehingga ada ungkapan ‘Pemimpin PKR dapat undi, rakyat dapat baldi.

“Ketika membentangkan manifesto, saya kata menang saja BN di Selangor ini masalah air kita selesaikan,” katanya.

Perdana Menteri turut menasihatkan warga pendidik berfikir pihak mana yang boleh menguruskan dengan baik serta tidak mengikut emosi atau mempercayai apa yang dibaca dalam media sosial kerana ia termasuk perkara fitnah, separuh benar atau pendapat.

Pada program sama, Najib mengumumkan akan melaksanakan pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) baharu untuk Kuala Selangor, selain peruntukan RM500,000 menaik taraf padang SK Puncak Alam 2, manakala pembinaan hospital pengajar sudah ada dalam perancangan Kerajaan Persekutuan.

Leave a Reply