DAP kawal pakatan pembangkang

Share


Bekas Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarulazman Habibur Rahman, mendakwa manifesto pakatan pembangkang memiliki persamaan ketara dengan manifesto DAP.

Beliau berkata, manifesto pakatan pembangkang untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu dirangka DAP, sekali gus membuktikan parti berkenaan mempunyai kuasa besar dan ‘mengawal’ pakatan itu.

“Sebagai contoh, sebuah video yang saya tonton menunjukkan Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dilihat teragak-agak, sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan atau diteruskan.

“Ia jelas menunjukkan Pakatan Harapan didorong pemimpin DAP yang berdiri di belakangnya untuk menyatakan mengenai manifesto berkenaan.

“Manifesto Pakatan Harapan bukan hasil perbincangan semua komponen parti dalam gabungan itu.

“Dr Mahathir perlu menjelaskan mengapa semua itu berlaku dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendirian Dr Mahathir yang sentiasa berubah ketika mengulas mengenai manifesto pakatan itu membuktikan hanya DAP yang lebih memahaminya.

“Saya berasakan Dr Mahathir seperti tidak tahu mengenai manifesto itu dan berharap DAP memberi maklumat sekiranya ada persoalan timbul ketika diminta mengulas mengenai manifesto berkenaan,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan, dokumen manifesto itu diberikan kepadanya oleh individu yang enggan dikenali pada pertengahan bulan lalu.
BH



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *